Lebih ramai kenamaan, jutawan Arab Saudi ditangkap

RIYADH, 18 Safar 1439H, Selasa – Pembersihan rasuah di Arab Saudi semakin meluas selepas seorang lagi ahli perniagaan terkemuka negara itu dilaporkan ditahan, akaun individu yang ditangkap mula dibekukan dan disenaraikan sebagai orang yang dilarang keluar negara.

Semalam, Nasser bin Aqeel al-Tayyar, salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat pelancongan terbesar di Arab Saudi, dilaporkan antara yang ditangkap, menyebabkan saham firma itu jatuh 10 peratus di Bursa Saham Arab Saudi.

Dalam operasi besar-besaran sejak dua hari lalu, suruhanjaya antirasuah diketuai Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, menangkap 11 putera raja, menteri, bekas menteri dan ahli perniagaan terkemuka.

Pengkritik menyifatkan tindakan penangkapan putera raja dan ahli perniagaan terkemuka negara itu sebagai usaha Mohammed memperkukuhkan kuasa dan kedudukannya.

Sabtu lalu, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud mengumumkan anaknya, Mohammed, akan mengetuai suruhanjaya bagi membersihkan rasuah di dalam negara.

Presiden Suruhanjaya Antirasuah Arab Saudi, Khalid bin Abdulmohsin Al-Mehaisen dalam kenyataan menerusi Pusat Komunikasi Antarabangsa berkata, bukti pelanggaran dan salah urus kewangan yang dikesan baru-baru ini menunjuk rasuah berleluasa dalam beberapa kes.

“Tanggungjawab jawatankuasa antirasuah yang baharu adalah bagi memastikan siasatan ke atas kes-kes itu diselesaikan, dan undang-undang sedia ada diterapkan,” katanya.

Pendakwa Raya Sheikh Saud al-Mojeb pula berkata, penangkapan itu adalah langkah pembersihan rasuah yang pertama dilakukan dan mereka yang ditangkap sedang disoal siasat.

Jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal, yang memiliki Kingdom Holding adalah antara individu yang dilaporkan ditangkap.

Antara individu yang ditahan, ialah menteri kanan yang baru-baru ini dipecat, termasuk Ketua Pengawal Kebangsaan, Putera Mitaab bin Abdullah dan Menteri Ekonomi, Adel Faqih.

Sementara itu, laporan juga menyebut bahawa bank-bank Arab Saudi mula membekukan akaun mereka yang ditangkap.

“Suruhanjaya ini berkuasa untuk menyemak dengan rapi semua akaun bank mereka yang ditahan, membekukan aset dan dana mereka serta mengambil langkah yang diperlukan,” kata Mehaisen.

Akhbar Al-Asharq Al-Awsat pula melaporkan mereka yang ditangkap disenaraikan sebagai individu yang dilarang keluar negara. Lapangan terbang di negara itu sudah diarah menghalang penerbangan keluar jet peribadi individu terbabit.

Akhbar berkenaan melaporkan pengawal keselamatan ditempatkan di kawasan jet peribadi dipakir bagi mengawasi keadaan dan memastikan tiada yang melarikan diri ke luar negara.

Arab Saudi menarik perhatian dunia sejak beberapa bulan lalu, selepas Raja Salman meletakkan anaknya, Mohammed, menggantikan Putera Mohammed bin Nayef, sebagai Putera Mahkota. – Agensi

The post Lebih ramai kenamaan, jutawan Arab Saudi ditangkap appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian