Lima sekeluarga rakyat Indonesia rentung

SUNGAI PETANI, 18 Safar 1439H, Selasa – Sepasang suami isteri antara lima warganegara Indonesia yang terkorban dalam kejadian kebakaran membabitkan empat rumah jenis kayu di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Saifi Abdul Hamid berkata, mereka yang rentung dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu adalah Mat Holil Tubat dan isterinya yang dikenali sebagai Ume, kedua-duanya berusia lingkungan 40-an manakala tiga lagi mangsa dikenali sebagai Habi (40-an), Misbah Hul Anwar, 19, dan Tobiyah (40-an).

“Kesemua mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita ini merupakan warganegara Indonesia. Butiran nama mangsa diperoleh daripada pengakuan dan pengecaman saudara-mara dan kenalan.

“Ini kerana dokumen pengenalan diri dipercayai terbakar semasa kejadian. DNA akan diambil untuk mengesahkan identiti mangsa terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifi berkata,  mayat mangsa yang rentung itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat.

Sementara itu, beliau berkata seorang lagi mangsa dikenali sebagai Samsul, 45, yang merupakan suami kepada Tobiyah, melecur 70 peratus akibat kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini.

Katanya siasatan awal mendapati lebih 20 mangsa terlibat dalam kebakaran itu termasuk yang maut, namun pihaknya masih mengumpul data terperinci mengenai jumlah penghuni di rumah dan punca kebakaran terbabit.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Abdul Razak Muda berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 4.11 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian bersama jentera pertama, lima minit kemudian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan empat rumah berkeluasan 2.3 meter X 6.5 meter persegi itu telah musnah 90 peratus.

“Seramai 14 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi pemadaman api yang masih diteruskan setakat 8 pagi ini dengan dibantu 41 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS),” katanya. – Bernama

The post Lima sekeluarga rakyat Indonesia rentung appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian