Mengatur langkah memperbetul ‘kesombongan’ silam

ADA hamba Allah yang saya kasihi menegur cara saya berjalan. Katanya, gerak tubuh saya nampak bongkak dan sombong ketika berjalan.

Langkah dan masa depan

Masa bersifat relatif. Ia boleh memanjang dan memendek, tetapi tidak boleh diundur. Itu teori yang dikemukakan ahli fizik. Masa ini bila difikirkan dalam makam fikir tertentu, sangat menakjubkan. Tanda kebesaran dan keesaan Allah SAW yang tidak terikat dengan ruang dan waktu. Tidak tercapai oleh akal dan tidak tergambar dengan kata-kata.

Sementara manusia itu dibatasi dan terikat dengan masa. Manusia menjadi semakin tua, lupa, lemah, sakit dan mati.

Malah, dengan kuasa Allah, ada manusia tidak sempat pun merasai tua dan sakit – terus mati. Jadi, bagaimanakah manusia akan melalui proses fitrah itu tanpa membiarkan putaran hidupnya berlalu pergi bagaikan debu ditiup angin, buih dihempas ombak?

Bagaimana manusia yang terikat dengan masa ini sepatutnya cukup untuk membuatkan mereka yang mahu berfikir sedar akan sifat kehambaan manusia, tidak punya daya dan upaya, bersifat fana, kerdil dan serba terbatas, berbanding Allah yang bersifat mutlak, azali, kekal dan menjadi sumber kepada segala kejadian dan kewujudan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Demi masa, manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”. (Al-Asr ayat 1-3)

Keimanan

Satu bentuk pengabdian dan penyerahan makhluk kepada Allah SWT. Setiap helaan nafas, degupan jantung, aliran darah dalam tubuh makhluk, perbuatan, kata-kata, penglihatan, pendengaran, berjalan, duduk dan tidur hanya kerana Allah semata-mata.

Apabila iman telah kukuh di jiwa, manusia akan bebas daripada segala bentuk perhambaan kepada hawa nafsu kerana manusia beriman tahu, tiada apa pun di dunia ini yang boleh membuatkan manusia ini tunduk, selain hanya kepada Allah SWT.

Hasil daripada refleksi keimanan, akan terlahirlah tindakan atau perbuatan yang berlandaskan keimanan. Manusia akan memastikan setiap perkara yang dilakukan hanya kerana Allah. Melakukan suruhan dan meninggalkan larangan Allah.

Dalam tafsir Fi Zilalil Quran karya agung oleh Sayyid Qutb, beliau tidaklah membicarakan takrif keimanan dari sudut fekah, tetapi dari sudut kedudukan dan nilai keimanan itu sendiri. Betapa manisnya kehidupan dalam keimanan.

Bagaimana hanya dengan tiga ayat dalam surah al-‘asr ini Allah menggambarkan satu peraturan hidup yang sempurna bagi manusia, meletakkan seluruh perlembagaan doktrin Islam itu dalam beberapa ungkapan pendek ini dan menyifatkan hakikat dan fungsi umat Islam dalam surah ini.

Keimanan inilah yang membebaskan manusia daripada kerugian. Keimanan inilah yang memerdekakan jiwa manusia daripada menjadi hamba hawa nafsu jahat. Keimanan inilah yang mengisi masa-masa yang sedang berdetik ini dengan manfaat.

Buat diri ini, khususnya dan lain-lain, masa tidak menunggu manusia. Kita rugi setiap saat dan detik yang berlalu jika menunggu tidak berbuat apa-apa.

Kita tidak boleh undurkan waktu untuk memperbetulkan kisah silam dan kita juga tidak mahu usia yang panjang berlalu tanpa pengisian. Segalanya bermula daripada sekarang!

Sungguh, saya tidak tahu langsung sedemikian rupa cara saya berjalan. Insya-Allah, saya akan perbaiki lagi cara saya berjalan supaya setiap langkah yang saya ambil itu Allah akan redha.

 

The post Mengatur langkah memperbetul ‘kesombongan’ silam appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian