ismakualaterengganu

Pengalaman yang mematangkan Sang Murabbi

LANGIT tidak sentiasa biru, namun yang pasti awan mendung pasti akan berarak. Begitulah analogi jatuh dan bangun seorang murabbi. Tidak ...

LANGIT tidak sentiasa biru, namun yang pasti awan mendung pasti akan berarak. Begitulah analogi jatuh dan bangun seorang murabbi.

Tidak semua pengalaman dalam membina itu indah. Kadangkala pokok yang ditanam tumbuh menyegar dan terus berkembang, di sisi lain ada pokok yang berkembang namun layu di tengah jalan. Tidak kurang juga ditanam langsung terkubur ditelan bumi. Namun apa yang pasti dengan niat yang ikhlas disulam dengan semangat yang berkobar-kobar, Allah pasti menilai setiap detik yang kita lalui.

Seperti dalam firman-Nya (3:195). “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan sebahagian yang lain.”

Ya itu benar. Tetapi sebagai murabbi yang proaktif, mereka tidak boleh berpuas hati dengan alasan, “Aargh…aku sudah mencuba, dah memang tidak menjadi, nak buat macam mana?”

Pengalaman bukanlah sesuatu yang terjadi pada seseorang tetapi apa yang dilakukan oleh seseorang terhadap apa yang terjadi pada dirinya. Pada hemat saya pahit atau manis tidaklah begitu penting, yang penting bagaimana sang murabbi bangkit mengambil tindakan dan pelajaran daripada perkara yang telah berlalu.

Kesilapan utama sang murabbi adalah sering melakukan kesalahan yang sama berulang kali, walaupun mereka sedar tindakan itu memang pasti tidak akan mendatangkan hasil. Setiap kali membina halaqah yang baru, tindakan itu juga yang mereka lakukan walaupun sebelum ini sudah terbukti ia gagal dan tidak mendatangkan hasil.

Penting sang murabbi mempunyai metakognisi yang tinggi dalam membina halaqah. (Saya akan coretkan metakognisi sang murabbi dalam coretan murabbi 3).

Terbaca kata-kata seorang ahli falsafah: “Cabaran, masalah dan kegagalan menunjukkan yang kita masih hidup.” Begitulah juga pada diri sang murabbi, cabaran dalam berhadapan dengan mad’u, masalah yang kita hadapi ketika berhadapan dengan mereka, kegagalan dan kejayaan yang kita tempa, menunjukkan jiwa murabbi masih hidup dan segar dalam jiwa kita.

Apa yang dirisaukan adalah ketika mana rakan-rakan sibuk membincangkan permasalahan dalam membina, sedangkan kita sentiasa tenang tanpa masalah, tidak merasai kegagalan disebabkan kita sibuk berpangku tangan tidak berusaha untuk membina.

Belajarlah daripada pengalaman dan bangkitlah daripada kegagalan.

Langit tidak sentiasa biru, namun yang pasti awan mendung pasti akan berarak.

Cikgu Mohammad Alif Bin Rahman
ISMA Melaka

The post Pengalaman yang mematangkan Sang Murabbi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 9140785818744971236

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item