Pengerusi Binladin Group turut ditangkap

LAGI GAMBAR-GAMBAR DI BAWAH BERITA

RIYADH, 19 Safar 1439H, Rabu – Syarikat yang melaksanakan projek pembesaran serta pembersihan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Bin Laden Group (Binladin), turut terkesan dengan operasi besar-besaran diketuai Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, sejak Sabtu lalu.

Bakr Bin Ladin, Pengerusi Kumpulan Binladin iaitu syarikat pembinaan awam paling besar di Arab Saudi, adalah antara individu yang ditangkap dalam siasatan apa yang dikatakan bagi memerangi rasuah dan pengubahan wang haram.

Sejarah Kumpulan Binladin bermula sejak 1931, ketika zaman awal kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan Raja Abdul Aziz Al Saud, apabila Mohammed Binladin mengasaskan Pertubuhan Mohammad Binladin sebagai syarikat pembinaan.

Sejak itu, sejarah dan perkembangan Kumpulan Binladin saling berkait dengan pemerintah Arab Saudi, hingga memperoleh pelbagai tender, termasuk pembersihan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, serta pembinaan Kompleks Abraj Al Bait yang menempatkan menara jam besar di tepi Masjidil Haram.

Sejarah hitam dicatatkan syarikat itu apabila pada 11 September 2015, sebuah kren yang digunakan untuk projek pembesaran Masjidil Haram, tumbang dan menghempap orang ramai, menyebabkan 111 terbunuh dan 394 lagi cedera.

Bagaimanapun, Mahkamah Jenayah Makkah membebaskan Binladin Group daripada tudahan cuai berhubung kes itu.

Namun, sejak beberapa hari lalu, bukan sahaja rakyat Arab Saudi, malah dunia dikejutkan dengan tindakan tegas Putera Mahkota Mohammed, yang kononnya dikatakan untuk menangani rasuah di kalangan putera raja, menteri, bekas menteri dan ahli perniagaan di negara itu.

Sebelas putera raja, termasuk Fahd Bin Abdullah; Turki Bin Naseer; Turki Bin Abdullah; Miteb Bin Abdullah; dan Al Waleed Bin Talal, telah ditangkap.

Individu lain yang dilaporkan ditangkap ialah Pengerusi Kumpulan Media MBC, Waleed Al-Ibrahim; bekas Presiden Mahkamah Diraja, Khaled Al-Tuwaijri; Menteri Ekonomi dan Perancangan, Adel Faqih; bekas Presiden Lembaga Pelaburan Awam yang juga pemilik Al-Dabbagh Group, Amr Al-Dabbagh.

Turut dilaporkan ditahan ialah Pengerusi Syarikat Pelancongan Dallah Al Baraka Group, Saleh Abdullah Kamel; Ketua Unit Protokol dan Upacara Negara, Saud Al-Tobaishi; Menteri Negara dan Eksekutif Saudi Aramco, Ibrahim Al-Assaf; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Telecom Company, Saud Al-Dawish; dan bekas Ketua Pengarah Syarikat Penerbangan Saudi, Khaled Al-Mulhem.

Laporan juga menyebut lebih 1,200 akaun bank dengan nilai berbilion-bilion ringgit milik individu terbabit telah dibekukan atas arahan jawatankuasa memerangi rasuah diketuai Putera Mahkota Mohammed.

Dalam kenyataannya Sabtu lalu, Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud berkata, jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk mengeluarkan waran tangkap, larangan perjalanan, mendedahkan dan membekukan akaun dan portfolio, mengesan dana dan aset, serta menghalang kiriman atau pemindahan aset di kalangan individu yang ditahan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi setakat ini, belum mendedahkan secara rasmi nama individu yang ditahan. – Agensi

The post Pengerusi Binladin Group turut ditangkap appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian