Pesara rugi RM25,360 ditipu pakej umrah

KUANTAN, 1 Rabiulawal 1439H, Isnin – Seorang pesara kerajaan menanggung kerugian RM25,360 setelah diperdaya oleh seorang ustaz yang ‘lenyap’ bersama duit berkenaan selepas mangsa menjelaskan bayaran bagi pakej mengerjakan umrah bersama keluarga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 71 tahun telah membuat pembayaran pendahuluan pakej umrah sebanyak RM6,000 kepada suspek pada bulan Ogos 2015.

“Pengadu merancang menunaikan umrah bersama isteri, anak dan cucu pada musim cuti akhir persekolahan tahun 2015 dengan pakej RM6,790 bagi dewasa dan RM4,990 bagi kanak-kanak sepanjang tempoh bulan Ogos hingga November 2015.

“Pengadu kemudian telah beberapa kali menyerahkan baki wang pembayaran sehingga bayaran penuh sebanyak RM25,360 selesai pada penghujung 2015,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, pengadu kemudian cuba menuntut pakej umrah yang telah ditawarkan namun gagal selain membuat beberapa rundingan untuk mendapat kembali wang tersebut daripada suspek tetapi gagal.

Beliau berkata, mangsa kemudian pergi ke pejabat suspek yang beralamat di Kuantan semalam yang didapati telah ditutup dan selepas itu mangsa membuat laporan polis berhubung penipuan tawaran pakej umrah berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Wazir berkata, polis telah mengenal pasti identiti suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

The post Pesara rugi RM25,360 ditipu pakej umrah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian