ismakualaterengganu

Plagiarisme satu jenayah akademik: Sultan Perak

KUALA KANGSAR, 29 Safar 1439H, Sabtu – Perbuatan plagiarisme atau penjiplakan adalah satu jenayah akademik, perilaku mungkar terhadap ilm...

KUALA KANGSAR, 29 Safar 1439H, Sabtu – Perbuatan plagiarisme atau penjiplakan adalah satu jenayah akademik, perilaku mungkar terhadap ilmu dan para ilmuwan yang wajib ditangani secara tegas, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bertitah, plagiarisme wajib diberikan perhatian serius dan kaedah pemantauan yang berkesan wajib diformulasi demi memastikan integriti serta kredibiliti sesebuah universiti terus terpelihara.

“Plagiarisme semakin membentangkan cabaran kepada dunia pendidikan setelah bermulanya World Wide Web dengan maklumat tersangat mudah diperoleh secara elektronik melalui Internet.

“Pada masa ini, maklumat begitu mudah disalin, ditiru dan ditampal dalam kerja kursus dan laporan yang disediakan oleh para pelajar,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen kali ke-10 USAS di sini, hari ini.

Istiadat itu melibatkan seramai 843 graduan dengan 785 daripadanya menerima diploma, Ijazah Sarjana Muda (17) dan Ijazah Sarjana (41).

Sultan Nazrin bertitah lambakan bahan dalam Internet menyulitkan warga akademik menyemak kesahihan dan keaslian kerja kursus serta bahan penyelidikan yang dihasilkan pelajar di bawah pengawasan mereka lebih-lebih lagi jika ia melibatkan jumlah yang ramai.

“Semoga dijauhkan nama baik USAS daripada tercemar dengan perbuatan plagiarisme, baik dalam kalangan pelajar, lebih-lebih lagi dalam kalangan warga akademik,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Perak bertitah reputasi kegemilangan sesebuah universiti tidak ditentukan semata-mata oleh bilangan siswazah yang dihasilkan, tetapi lebih kepada kualiti.

“Kualiti iaitu siswazah yang berwibawa serta berintegriti, memiliki daya analisis, pemikiran kritikal serta berpegang kepada prinsip yang berteraskan fakta, tegas lagi berani menyatakan kebenaran.

“Pihak berkuasa universiti ada tanggungjawab dan akauntabiliti daripada sudut perundangan dan moral untuk menjamin kredibiliti sesebuah institusi ilmu yang bergelar universiti,” titah baginda.

Sultan Nazrin dalam pada itu menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan yang berjaya memenuhi keperluan akademik masing-masing dan layak dianugerahkan ijazah serta diploma.

Baginda turut bertitah: “Hargailah jasa kedua ibu bapa dan para guru, laksanakan penghargaan tersebut walau berbentuk sepatah ungkapan terima kasih atau dakapan penuh kasih atau bacaan surah al-Fatihah kepada roh mereka yang telah kembali ke rahmatullah”. – Bernama

The post Plagiarisme satu jenayah akademik: Sultan Perak appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 1527205971935669842

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item