Polisi larangan bertudung adalah tindakan ekstrem

Oleh Athirah Huda Zalhe

PUTRAJAYA, 6 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menyifatkan polisi larangan bertudung pekerja kaunter depan dalam sektor perhotelan sebagai satu tindakan ekstrem.

Tegas beliau, bertudung adalah tuntutan yang diwajibkan ke atas setiap wanita Islam, dan perkara itu sama sekali tidak boleh dilarang oleh kerajaan, apatah lagi pihak swasta.

“Dari segi Perlembagaan pula, ia jelas bercanggah kerana dalam peruntukan telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan negara.

“Polisi sedemikian secara terang-terangan menyalahi hak asasi manusia masyarakat Islam di Malaysia,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net pada Syarahan Umum Daulatkan Islam Agenda Negara (DIAN) anjuran Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Wan Zahidi berkata, pihak operator hotel yang mengguna pakai polisi berkenaan dilihat tidak menghormati masyarakat Islam di Malaysia, termasuklah hak asasi manusia, budaya, undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Sedangkan Permaisuri dan kerabat diraja juga memakai tudung. Saya kira ianya satu penghinaan kepada negara, Perlembagaan dan Raja-Raja.

“Kita tidak boleh lagi bertoleransi dengan perkara sebegini. Ia memerlukan tindakan daripada pihak berwajib dengan menyelesaikannya melalui undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan mempertahan operator hotel melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).

MAH menafikan larangan yang dikenakan itu adalah satu bentuk diskriminasi sebaliknya berpendapat ia merupakan sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Malah, Presiden MAH, Cheah Swee Hee mendakwa setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

The post Polisi larangan bertudung adalah tindakan ekstrem appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian