UNI-MLC kenalpasti lebih 20 hotel mewah larang wanita bertudung

BANGI, 8 Rabiulawal 1439H, Isnin – Lebih 20 hotel bertaraf lima dan enam bintang di ibu negara dikenalpasti melarang pemakaian tudung terhadap pekerja wanita yang berkhidmat di bahagian kaunter hadapan.

Perkara itu didedahkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) hari ini, susulan aduan yang diterima daripada kakitangan hotel mengenai isu tersebut sebelum ini.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, pihaknya akan menyerahkan senarai hotel itu dalam satu mesyuarat bersama Jabatan Sumber Manusia pada Rabu ini, untuk tindakan lanjut.

“Selepas ini pihak hotel diharap tidak akan berdolak-dalik lagi mengenai perkara itu sebaliknya mereka perlu berinteraksi dan bersikap jujur bagi membantu mencari penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku,” katanya seperti dilapor Berita Harian (BH), hari ini.

Isu larangan bertudung terhadap pekerja kaunter depan hotel pernah didedahkan oleh UNI-MLC sebelum ini, selepas menerima aduan berhubung tindakan diskriminasi tersebut.

Ia turut menerima respon daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar dan prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa.

Mengulas lanjut Shafie berkata, polisi tersebut bukan hanya membabitkan pekerja di bahagian hadapan hotel, tetapi juga pekerja bahagian lain.

“Kalau hotel mempertahankan prosedur operasi standard (SOP) mereka dalam pemakaian seragam ia mungkin agak ketinggalan zaman dan perlu diperbaiki supaya pekerja wanita diberikan kebebasan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Pekerja sepatutnya diberikan pilihan bukan memaksa yang bertudung membuka tudung mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan tegas terhadap hotel terbabit supaya tidak wujud penindasan atau paksaan bagi melindungi maruah pekerja wanita Islam di negara ini.

Beliau turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan dalam perkara ini untuk memastikan ia dapat ditangani secara adil dan saksama.

The post UNI-MLC kenalpasti lebih 20 hotel mewah larang wanita bertudung appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian