Baitulmaqdis: Malaysia tidak terikat dalam menghadapi ugutan Amerika

PUTRAJAYA, 3 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Malaysia tidak mahu terikat dalam tindakannya berdepan ugutan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara-negara yang memberi undi menolak resolusi pengiktirafan negara itu untuk menjadikan Baitulmuqaddis ibu negara Israel, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, Malaysia bukanlah penerima bantuan ekonomi yang besar daripada Amerika dan hanya menerima bantuan teknikal dari segi keselamatan dan pertahanan.

“Pada hemat saya Amerika tidak seharusnya menggunakan ugutan sedemikian kerana ia merupakan pendapat masyarakat antarabangsa,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita semasa hadir Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis, di Masjid Putra di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ugutan Presiden Donald Trump untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang menyokong draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Baitulmuqaddis.

Perhimpunan Agung PBB semalam mengisytiharkan bahawa resolusi Amerilka mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel adalah tidak sah dan terbatal selepas pengundian menyaksikan 128 negara termasuk Malaysia menolak keputusan Amerika itu dan sembilan lagi negara menyokong.

Sebanyak 35 negara lain mengambil pendirian berkecuali dalam sesi undian itu, manakala wakil 21 negara tidak hadir.

Terdahulu, sebelum pengundian 193 negara itu, Amerika menerusi Dutanya ke PBB, Nikki Haley mengulangi ancaman Presiden Trump untuk memotong bantuan kewangan kepada mana-mana negara yang menyokong resolusi berkenaan.

Haley juga menegaskan keputusan undian di PBB tidak akan membuat sebarang perubahan ke atas rancangan Washington memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis.

Ahmad Zahid berkata keputusan itu menjadi ketetapan PBB maka ia harus dipatuhi oleh mana-mana negara anggota pertubuhan itu.

“Tentunya pencabulan terhadap resolusi itu adalah pencabulan terhadap ketetapan badan dunia dan mengetepikan pandangan masyarakat dunia,” katanya.

Ditanya mengenai keengganan Israel menerima resolusi itu dalam kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, Ahmad Zahid berkata, negara itu hanya sebuah daripada negara anggota PBB yang harus patuh kepada keputusan badan dunia itu.

“Kedegilan ini sebenarnya sejak penubuhan negara berkenaan lagi dan pencabulan serta penolakan terhadap sebarang resolusi (PBB) sering dilakukan oleh Israel (sebelum ini),” katanya.

Mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk Malaysia mengikut langkah Turki membuka kedutaan di Timur Baitulmuqaddis, Ahmad Zahid berkata cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu pertama Januari 2018. -Bernama

The post Baitulmaqdis: Malaysia tidak terikat dalam menghadapi ugutan Amerika appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian