Berinteraksi Dengan Otai

OTAI begitu sinonim dengan orang yang berpengalaman luas dan mahir dalam sesuatu bidang. Namun, terdapat juga konotasi negatif yang mengaitkan otai sebagai individu yang sukar diurus (difficult individual), berkarakter ganas atau keras kepala. Persoalannya, bagaimanakah cara yang terbaik untuk mempengaruhi mereka?

1. Kekalkan Ketenangan: Jangan berikan reaksi berlebihan, beremosi tinggi, terlepas kata-kata kesat, bertembung secara berhadapan dan mencipta permusuhan. Semua perkara ini akan menghilangkan rasional anda serta memutuskan hubungan jangka masa panjang dengan sasaran. Teknik mudah yang praktikal ialah berdiam diri dan kira 1-10 secara senyap untuk menenangkan diri apabila diprovokasi. Ambil nafas dalam-dalam, rasionalkan diri dan bertenang setiap kali anda mula beremosi.

2. Terbang Bebas Seperti Sang Helang: Bagi sesetengah kes, cara terbaik untuk berinteraksi dengan mereka ialah jangan cari pasal. Kekalkan jarak. Kurangkan risiko pergeseran. Ambil pendekatan ‘malas layan’ dan jangan terlalu tenggelam dalam permainan mereka. Bebaskan diri anda, terbanglah tinggi umpama sang helang. Jika anda mengikat diri dengan bumi, anda tidak akan mampu pergi jauh. Pepatah Inggeris ada menyebut, “You can’t fly like an eagle if you hang out with turkeys!” (Anda tidak akan boleh terbang seperti helang jika bergaul dengan ayam belanda).

3. Jadi Proaktif, Fahami Mereka: Cuba letakkan diri dan pemikiran anda dalam diri mereka. Fahami sebab dan faktor mereka berpersepsi dan beraksi. Hadapi mereka dalam aspek dan irama yang sama. Jangan menghukum, elakkan memberi label. Jika anda rasa tersinggung, tanya untuk dapatkan kepastian dan meminimakan masalah komunikasi. Tumpukan tenaga anda untuk menyelesaikan masalah dan memberikan solusi.

4. Pilih Peperangan Anda: Jangan sentiasa menjadi sang helang dan terbang mengelak setiap konfrontrasi. Ada sesetengah situasi anda perlu terjun dan bertarung untuk menang dalam peperangan. Asalkan tiada kesan negatif jangka masa panjang yang terlalu besar, bahkan mungkin boleh memberi manfaat, anda boleh memilih untuk berhadapan dan berjuang hingga akhirnya. Buat keputusan yang tepat, fikirkan kesan jangkamasa panjang dan perhubungan umum. Fikir secara strategik dan pastikan anda tahu saat paling sesuai untuk menggunakan peluru rahsia anda.

5. Pisahkan Individu dan Isu: Teknik merupakan antara yang paling efektif. Untuk apa sahaja masalah yang anda hadapi, jangan campurkan antara individu dan isu. Rawat keduanya secara berasingan. Ia akan memberikan anda kewarasan, ketajaman dan kemampuan menangani krisis secara berobjektif. Untuk orang yang degil, jangan benci individu tersebut tapi benci kedegilannya. Interaksi anda dengannya perlu sentiasa atas dasar kelembutan dan kasih sayang. Bertegas terhadap isu, berlembut terhadap individu. Itu kuncinya!

6. Alih Tumpuan Dengan Soalan: Biasanya orang yang degil dan agresif akan meletakkan anda sebagai objek tumpuan untuk memberikan tekanan. Jangan gelabah, anda cuma perlu terbalikkan situasi. Alihkan tumpuan dan fokus kepadanya, terutama apabila di khalayak ramai. Lontarkan soalan untuk mencetus kesedaran dan membuatkannya berfikir. Mereka juga biasa menuduh dan menyerang. Jangan masuk dalam perangkap mereka dengan mempertahankan diri, sebaliknya alihkan semula fokus terhadap diri mereka. Dan cara yang terbaik tidak lain dan tidak bukan ialah dengan bertanya soalan.

7. Bergurau Secara Bersahaja: Kurangkan ketegangan dengan membuat lawak bersahaja. Asalkan tidak menyentuh peribadi atau terlalu sensitif, sepatutnya ia mampu memperbaiki situasi serta memberikan anda lebih masa untuk menyusun tingkah seterusnya. Jika kena caranya, ia mampu melembutkan jiwa seterusnya mengurangkan dos agresif atau kedegilan pihak lain.

8. Pimpin, Jangan Ikut: Method lain yang tidak kurang efektifnya ialah memimpin perbualan dan bukan sekadar mengikut. Antara caranya ialah dengan memotong dan menyampuk. Cara lain ialah dengan menukar topik. Anda bebas menggunakan teknik-teknik yang pelbagai berdasarkan kesesuaian keadaan dan sasaran.

9. Tunjukkan Keberanian Untuk Elak Dibuli: Biasanya orang yang membuli akan memilih mangsa yang lemah. Untuk elak dibuli, pamerkan kekuatan dan keberanian sekurang-kurangnya secara luaran. Walaupun anda ketakutan, pastikan ia tidak kelihatan. Ingat, kebiasaanya orang yang degil, selalu membuli atau bermasalah memiliki ketakutan mereka tersendiri yang disembunyikan. Terkadang mereka menyembunyikan kepincangan dan kelemahan diri sendiri dengan cara membuli!

10. Fikirkan Kesan Akhir: Kenalpasti hasil tindakan anda. Fikir sebelum bertindak. Boleh jadi pendekatan anda akan memperbaiki keadaan, boleh jadi juga sebaliknya! Dapatkan hormat pihak lawan dan cuba bekerjasama, bukan bersaing. Ya, ia satu seni yang tidak mudah. Latihan, pemerhatian dan analisa yang berterusan akan membantu anda untuk menguasainya.

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Ketua Biro Latihan Kepimpinan ISMA

The post Berinteraksi Dengan Otai appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian