Felda menyimpang daripada tanggungjawab asal: Kadir Jasin

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 5 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Laporan mengatakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kehilangan tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, suatu yang tidak mengejutkan, kata Datuk A Kadir Jasin.

Tokoh Wartawan Negara itu berkata, sebelum ini sudah banyak berlaku penyelewengan, kali ini tidak lebih daripada pendedahan lanjut dan manipulasi yang berlaku dalam agensi amanah itu.

“Saya kata saya tidak terperanjat dengan laporan penjualan mencurigakan tanah di Jalan Semarak itu kerana sejak sebahagian besar harta Felda diswastakan melalui operasi pintu belakang penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) Berhad pada 2012, pelbagai kontroversi dan rungutan tercetus.

“Atas nama perniagaan, Felda dan kumpulannya telah menyimpang daripada tugas asal menguruskan ladang milik peneroka kepada berniaga secara besar-besaran.

“Malangnya prestasi kegiatan komersial Felda, khususnya FGV, tidak menjanjikan banyak harapan,” katanya menulis di Sinar Harian, hari ini.

Khamis lalu, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui Felda kehilangan hak ke atas tanah berstrategik di Jalan Semarak, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Katanya, perjanjian jual beli empat lot tanah berkenaan ditemui Januari lalu apabila beliau mengambil alih jawatan pengerusi Felda daripada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. .

Menjadi persoalan bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu berkata, Isa Samad masih tidak dikenakan sebarang dakwaan meskipun sudah terpalit dengan banyak penyelewengan.

“Ogos lalu Mohd Isa ditahan reman oleh SPRM dalam penyiasatan pembelian dua buah hotel melebihi harga pasaran oleh Felda Investment Corporation (FIC), anak syarikat Felda, pada tahun 2014 dan 2015.

“Yang menjadi tanda tanya ialah sampai hari ini tidak ada berita mengatakan beliau telah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah, sebaliknya dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) pula,” katanya.

Selain itu, Kadir berkata, beliau turut kesal apabila nasib generasi Felda hari ini jauh menyimpang dari matlamat awal penubuhannya untuk membasmi kemiskinan dan membebaskan peneroka daripada cengkaman orang tengah.

Katanya, memang awalnya Felda berjalan seperti digariskan dengan membuka tanah untuk peneroka dan membantu mereka menguruskan ladang.

“Malangnya, setelah lebih 60 tahun, apa yang kita dengar daripada peneroka sendiri ialah hidup mereka bukan lagi bertilamkan bunga mawar. Ramai peneroka Felda kembali miskin dan berhutang.

“Kita dengar cerita mereka diugut, hasil ladang mereka digredkan sesuka hati, dibekalkan dengan bahan tanam semula bawah piawaian dan bayaran jualan tertangguh berbulan khususnya selepas penubuhan FGV yang bertindak sebagai orang tengah kepada Felda.

“Kalau cerita ini benar, peneroka Felda sebenarnya telah balik ke zaman asal apabila mana mereka miskin dan dieksploitasi oleh orang tengah. Cuma yang berperanan sebagai orang tengah sekarang bukan peraih tetapi sistem Felda sendiri,” katanya.

The post Felda menyimpang daripada tanggungjawab asal: Kadir Jasin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian