ismakualaterengganu

GST umrah berkuat kuasa hari ini

BANGI, 26 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) menguatkuasakan Integrated Manasik Mo...

BANGI, 26 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) menguatkuasakan Integrated Manasik Monitoring System atau Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS), mulai hari ini.

IMAMS bukan dikendalikan oleh Motac, tetapi oleh sebuah syarikat swasta yang membuat cadangan kepada kementerian satu sistem yang boleh diguna pakai serentak dengan penguatkuasaan Lesen Khas Umrah (LKU).

Menerusi IMAMS, syarikat itu akan mengutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM5.10, selain bayaran tambahan RM45 untuk sistem dan pengurusan serta RM40 (insurans), daripada setiap umat Islam Malaysia yang hendak mengerjakan umrah.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerajaan bersetuju supaya kementerian mengguna pakai sistem pengurusan maklumat pemantauan bersepadu IMAMS, bagi pelaksanaan umrah dan ziarah.

Beliau mendakwa Kedutaan Arab Saudi di negara ini bersetuju menyokong usaha transformasi kementerian dalam pelaksanaan Lesen Khas Umrah (LKU), termasuk memberi hak eksklusif pemantauan visa umrah kepada kementerian melalui penggunaan IMAMS.

“Sehubungan itu, kementerian dengan ini mensyaratkan supaya semua syarikat pelancongan pengendali umrah yang dilesenkan LKU dan berstatus muasassah adalah diwajibkan mengguna pakai Sistem Pengurusan Maklumat Pemantauan Bersepadu IMAMS berkuat kuasa 15 Disember 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat arahan bertarikh 8 Disember lalu yang dialamatkan kepada Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA).

Katanya, penggunaan IMAMS selaras dengan peruntukan mengikut Peraturan 6(1)(n) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992 di mana pemegang lesen hendaklah mematuhi apa-apa syarat lain sebagaimana yang ditetapkan pesuruhjaya dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, mengikut peruntukan itu, pemegang lesen berstatus muasassah hendaklah memastikan semua maklumat jemaah dan butiran pakej jemaah dimasukkan ke dalam apa-apa kaedah yang diarahkan oleh pesuruhjaya dari semasa ke semasa.

IMAMS pada awalnya dirancang dikuatkuasakan pada 1 November lalu, tetapi ditangguhkan berikutan bantahan daripada syarikat pengendali umrah dan ziarah.

The post GST umrah berkuat kuasa hari ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 6043587434767704530

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item