Henti asing kelas, Sekolah Kawalan supaya selari dengan PBS

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 9 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Arahan menghentikan Sekolah Kawalan dan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid adalah supaya ianya sejajar mengikut konteks pengukuhan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

PBS menekankan kepada kemenjadian murid secara holistik, dan merupakan salah satu instrumen utama menterjemahkan Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Justeru, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, pengasingan kelas perlu dihentikan bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah Rendah dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 di sekolah menengah.

“Ini kerana pengasingan murid sebagai ciri kekal dan berterusan tidak bersesuaian dengan prinsip pendidikan holistik yang menjadi teras pendidikan Malaysia

“Oleh sebab itu tidak ada keperluan pengasingan murid mengikut akademik apatah lagi seawal tahun satu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pengasingan kelas boleh dilaksanakan untuk tujuan khusus dan bersifat sementara.

“Ia boleh digunakan sebagai kaedah atau alat pedagogi yang mempunyai tujuan khusus dan bersifat sementara dan ada intervensi yang jelas seperti kelas Linus,” katanya dalam satu kenyataan.
Selasa lalu, Dr Amin meminta semua sekolah tidak lagi mengamalkan budaya pengasingan kelas antara pelajar bermula tahun 2019.

Katanya, budaya pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid perlu dihentikan sepenuhnya bagi mengelakkan jurang kepandaian antara pelajar.

Sementara itu, mengulas mengenai Sekolah Kawalan pula katanya, ia juga perlu dinilai kembali dalam konteks pengukuhan PBS.

Terdahulu beliau mahu Sekolah Kawalan yang memilih pelajar berdasarkan pencapaian sukan, akademik serta disiplin, kerana tidak selaras dengan dasar pendidikan negara dihentikan.

“Kita tidak menggalakkan amalan ini yang kadang kala menyusahkan pelajar kerana ada sesetengah kes, pelajar terpaksa pergi ke sekolah yang jauh kerana tidak diterima di sekolah berhampiran kawasan perumahannya,” katanya.

Sekolah Kawalan ialah sekolah Kawalan Pentadbiran yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah untuk tujuan atau keperluan tertentu.

Sekolah Kawalan adalah inisiatif jabatan pendidikan negeri-negeri berkenaan dan bukannya dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

The post Henti asing kelas, Sekolah Kawalan supaya selari dengan PBS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian