Iktiraf Baitulmaqdis kemuncak tindakan bodoh Trump
Oleh Che Siti Rekembang Hasbi
BANGI, 19 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel.
Ketuanya, Muhammad Farid Hussein berkata, pengiktirafan itu memperlihatkan kemuncak tindakan bodoh Trump yang sama sekali bertentangan dengan resolusi antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Malah, ianya turut berlawanan dengan ketetapan masyarakat dunia yang tidak mahu mengiktiraf penjajahan Israel ke atas Baitulmaqdis.
“Pengiktirafan ini telah menunjukkan niat keji dan sikap berat sebelah Amerika Syarikat dalam peranannya sebagai pendamai antara Palestin dan Israel.
“Hal ini membuktikan peranan besar kuasa yahudi zionis dalam mencorakkan tindakan dan dasar Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut Farid berkata, pengiktirafan oleh Amerika Syarikat itu turut menunjukkan betapa lemah dan berpecahnya negara-negara Islam.
Terutama katanya, negara-negara arab yang hanya sibuk bertelingkah sesama sendiri dan seakan lupa dengan musuh yang sebenar.
“Sebenarnya telah banyak tindakan-tindakan berniat jahat terhadap orang Islam yang berlawanan dengan undang-undang yang telah dilakukan oleh Donal Trump sejak memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat.
“Antaranya ialah mengharamkan orang dari negara-negara islam tertentu untuk memasuki Amerika Syarikat atas alasan keselamatan,” katanya.
Justeru, Pemuda Isma menyeru supaya kerajaan Malaysia bersepakat dengan negara-negara Islam serta negara lain untuk mengambil tindakan tegas terhadap kezaliman Amerika Syarikat dan Israel.
“Masyarakat dunia perlu mengambil tindakan yang serupa yang pernah dikenakan terhadap negara Afrika Selatan berikutan dasar apartheid negara tersebut,” katanya.
The post Iktiraf Baitulmaqdis kemuncak tindakan bodoh Trump appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan