Isa Samad elak bertemu media berhubung isu tanah Felda

SEPANG, 3 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengelak bertemu dengan pihak media yang menunggunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Pihak media dikatakan telah menunggu lebih sejam, namun beliau yang dijadual sampai ke KLIA dari luar negara jam 10 malam tidak keluar dari pintu laluan khas orang kenamaan di aras lima.

Sementara itu, beberapa penyokong beliau turut kelihatan menunggu ketibaan Isa di Aras Lima, namun akhirnya bersurai.

Memetik laporan Berita Harian, media menunggu beliau untuk mendapatkan kenyataannya berhubung isu pertukaran hak milik tanah Felda Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Menurut laporan BH, Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah berstrategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Isa dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Felda pada 2011 hingga Januari lalu. Isa juga adalah Pengerusi Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013.

Pelantikannya menimbulkan persoalan kerana beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO pernah dikenakan tindakan tatatertib kerana mengamalkan politik wang ketika pemilihan UMNO.

Berikutan beberapa siasatan yang dilakukan terhadap Felda, Isa kemudian meletak jawatan pada Jun lalu.

Ogos lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman Isa bagi membantu siasatan terhadap pembelian hotel di London pada 2014 hingga 2015 membabitkan FIC dan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Semalam, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui agensi tanah Persekutuan itu ‘hilang’ tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur apabila ia dipindah milik tanpa pengetahuan Felda

Pertukaran hak milik secara rahsia itu dipercayai dilakukan pada 2015, ketika Isa menjadi Pengerusi Felda.

Polis dikatakan sudah memulakan siasatan selepas menerima duan daripada Felda berhubung perkara itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, pula berkata penelitian mereka setakat ini tidak menemui unsur rasuah dan salah guna kuasa, menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan pecah amanah.

Bagaimanapun, SPRM akan mengambil tindakan lanjut jika polis menemui unsur jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

The post Isa Samad elak bertemu media berhubung isu tanah Felda appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian