Isu Baitulmaqdis: GPS gesa Najib batal janji bantu ekonomi Amerika

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Rabiulawal 1439H, Selasa – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membatalkan tiga janji Malaysia, kononnya untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat (AS), sebagai membantah tindakan negara itu mengisytiharkan Baitulmaqdis ibu negara Israel.

GPS dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam situasi sekarang ini, Najib perlu melakukan pelbagai cara untuk memberi tekanan terhadap AS kerana perisytiharan itu mengguris hari umat Islam.

Dalam lawatan ke AS pada 11 hingga 13 September lalu, rakyat dikejutkan dengan tiga janji Najib, kononnya untuk membantu mengukuhkan ekonomi negara penyokong kuat rejim Zionis Israel itu.

Tiga janji Najib ialah:

1) Pembelian pesawat Boeing bagi kegunaan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) iaitu membeli 25 pesawat 737 MAX 10, dan lapan 787 Dreamliners. Serta kemungkinan untuk menambah 25 lagi 737 MAX 10 pada masa hadapan yang keseluruhannya dijangka bernilai AS$10 bilion (RM40.8 bilion);

2) Meningkatkan pelaburan melalui pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sehingga kini sudah pun melabur sebanyak AS$7 billion (RM28.56 bilion) dalam pegangan ekuiti, serta berhasrat untuk menambah AS$3 bilion (RM12.24 bilion) hingga AS$4 bilion (RM16.32 bilion) lagi bagi tujuan pembangunan semula infrastruktur AS; dan

3) Khazanah Nasional Berhad, yang memiliki pejabat di Lembah Silikon dan telah melabur sebanyak AS$400 juta (RM1.632 bilion) dalam syarikat teknologi tinggi, akan menambah lagi pelaburannya di AS.

GPS adalah sebuah badan bebas ditubuhkan Biro Gerakan Massa, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), menjadi penunjuk arah kepada rakyat bagi memilih pemimpin muslim berwibawa dan berkaliber pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

GPS memfokuskan 222 kerusi Parlimen membabitkan semua parti politik, akan merekod dan membentangkan maklumat mengenai pemimpin sekarang dan calon pemimpin yang akan bertanding, bagi memastikan hanya pemimpin muslim berwibawa dan layak untuk memenuhi Dewan Rakyat, kelak.

GPS berkata, walaupun lawatan Najib itu tidak membawa termeterainya sebarang perjanjian perdagangan sebagaimana dijelaskan Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, namun janji-janji Perdana Menteri membuatkan Trump tersenyum lebar.

“Dan dalam kehangatan pengumuman Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, GPS berasa terpanggil untuk menyeru YAB Perdana Menteri, menarik semula ‘janji-janji’ Najib kepada Trump yang kononnya mampu mengukuhkan dan membantu ekonomi AS itu sebagai satu tanda protes Malaysia terhadap Presiden Trump!

“Dalam situasi kini, Najib perlu melakukan apa sahaja cara untuk menunjukkan tekanan bagi mewakili umat Islam Malaysia khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya bagi menyatakan ketidakpuashatian terhadap keputusan yang mengguris hati umat Islam seluruh dunia itu,” katanya.

Beberapa hari lalu, Trump mengumumkan Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke tanah yang diduduki secara haram oleh rejim itu.

Berikutan itu, rakyat Palestin melancarkan intifada ketiga sebagai bantahan dan setakat ini empat penunjuk perasaan dilaporkan terbunuh, berpuluh-puluh lagi cedera dan ratusan, termasuk kanak-kanak ditangkap oleh rejim Israel.

The post Isu Baitulmaqdis: GPS gesa Najib batal janji bantu ekonomi Amerika appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian