JPMorgan lakukan pengubahan wang haram serius babit 1MDB, kata Switzerland
JPMorgan dilaporkan mengkredit ratusan juta dolar AS dari 1MDB yang didakwa sebagai peruntukan pembelian sebuah syarikat, ke akaun peribadi individu yang ada hubungan rapat dengan rakan niaga 1MDB
BANGI, 2 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Pengawal selia kewangan Switzerland (Finma) akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kawalan antipengubahan wang haram JPMorgan Chase & Co setelah mendapati bank itu dengan serius melanggar peraturan dalam urusannya dengan 1MDB.
Finma, yang menjalankan prosiding penguatkuasaan bermula Mei 2016 dan Jun lalu, membongkar kelemahan serius dalam transaksi urus niaga berkaitan 1MDB.
Pengawal selia kewangan dan pendakwa di Amerika Syarikat (AS), Singapura dan badan keadilan lain telah menjalankan siasatan bagaimana bank digunakan untuk melencongkan wang yang didakwa rasuah di 1MDB.
Februari lalu, Switzerland mendenda Coutts & Co Ltd kerana melanggar peraturan berkaitan pengubahan wang dan meraih keuntungan haram daripada transaksi berkaitan 1MDB, manakala pada Mei lalu, bank pusat Singapura mengenakan penalti kewangan berjumlah S$1.6 juta terhadap Credit Suisse Group AG dan United Overseas Bank Ltd.
JPMorgan secara khususnya gagal mengenal pasti dengan rapi risiko pengubahan wang haram berkaitan aliran tunai antara perniagaan dan akaun peribadi, kata Finma.
Finma mendedahkan, dalam satu kes, JPMorgan dilaporkan mengkredit ratusan juta dolar AS dari 1MDB yang didakwa sebagai peruntukan pembelian sebuah syarikat, ke akaun peribadi individu yang ada hubungan rapat dengan rakan niaga 1MDB.
“Bank itu juga menerima maklumat yang tidak lengkap atau tidak konsisten daripada pelanggan tanpa mengkaji lebih lanjut atau mendokumentasikannya,” kata Finma.
Finma setakat ini telah mengetengahkan tujuh kes yang ada kaitan dengan 1MDB, di mana salah satunya masih dibuka, kata Finma tanpa menjelaskan lebih lanjut. – Agensi
The post JPMorgan lakukan pengubahan wang haram serius babit 1MDB, kata Switzerland appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan