Juruteknik dipenjara miliki gambar, video berkaitan Daesh

KUALA LUMPUR, 26 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Seorang juruteknik hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 29 imej dan tiga video berkaitan kumpulan pengganas Daesh, Mac lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Taufiq Abdul Latif, 27, berkata walaupun imej dan video yang disimpan itu adalah untuk tontonan sendiri tetapi ia tetap menjadi kesalahan.

Mahkamah memerintahkah tertuduh yang merupakan anak ketiga daripada tujuh adik beradik menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap, pada 15 Mac 2017.

Lelaki itu yang masih bujang didakwa memiliki 29 imej dan tiga video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbit mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di persimpangan masuk ke Taman Sri Gadong, Jalan Bawal, Klang, pada pukul 2.40 petang, 15 Mac lepas.

Terdahulu, Ahmad Taufiq yang diwakili peguam Azamuddin Abd Aziz memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman singkat atas alasan anak guamnya menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kes itu selain hukuman yang dijatuhkan bukan saja menjadi pengajaran kepada tertuduh tetapi sebagai amaran untuk orang awam.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan anggota polis menahan tertuduh sebelum merampas sebuah telefon bimbit berwarna hitam di dalam sebuah beg silang yang dibawa tertuduh.

Hasil analisis terhadap telefon bimbitnya terdapat 29 keping imej dan tiga buah video berkaitan Daesh.- Bernama

The post Juruteknik dipenjara miliki gambar, video berkaitan Daesh appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian