ismakualaterengganu

Kelamnya Institusi Pendidikan Keluarga

KISAH Cikgu Azizan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, gempar seketika...

KISAH Cikgu Azizan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, gempar seketika di arena pendidikan negara. Tidak perlu dikupas lagi apa yang berlaku. Rata-rata, ramai yang turut sama memperkatakan isu ini, samada dari sudut seorang guru mahu pun ibu bapa. Samada menyokong mahu pun membantah. Benar, isu ini wajar dilihat dari semua sudut yang terlibat.

Peranan ibu dan ayah dalam mendidik anak-anak memang tidak akan dapat disangkal. Walaupun banyak tertubuhnya sekolah-sekolah yang cuba berperanan melebihi daripada peranan guru yang mengajar, terutama sekolah swasta, tetapi itu tidak akan mampu mengganti didikan ibu dan ayah di rumah. Besarnya peranan ibu dan ayah, banyak ternukil secara jelas dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Surah At Tahrim ayat 6 antaranya, yang mafhumnya:

Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari seksa api neraka, yang bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu…” menekankan kepentingan ibu dan ayah (terutama para ayah) dalam memastikan anak-anak dan ahli keluarga terselamat daripada api neraka. Kalau bukan terselamat melalui didikan, melalui apakah lagi?

Hadis dari Abu Hurairah riwayat Al Bukhari, yang bermaksud:

Setiap anak itu dilahirkan fitrah, dan ibu ayahnya lah yang akan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi juga jelas membuktikan peranan ibu dan ayah dalam mendidik, lebih daripada peranan seorang guru.

Kebejatan tingkah laku dan moral anak-anak muda kini, bermula daripada runtuhnya institusi pendidikan pertama mereka, iaitu RUMAH. Apabila rumah tidak lagi berfungsi sebagai madrasah pendidikan paling awal anak-anak, maka mendidik mereka pada usia tujuh tahun ke atas, adalah satu kerja yang tersangat berat. Ibu bapa yang culas mendidik di awal fasa akan menghadapi kesukaran, apatah lagi seorang guru yang bukan darah daging mereka, kesukarannya berlipat ganda. Maka jangan dituding dan dimarahi seorang guru yang mungkin hilang pertimbangannya sebentar dek kerana kurang ajarnya anak murid, apabila ibu dan ayah sendiri gagal sejak awal lagi.

Kisah tauladan daripada filem-filem lama seperti Anakku Sazali, patut dijadikan contoh buat semua ibu dan ayah dalam mendidik anak-anak. Mencurahkan kasih sayang semata, tanpa adanya disiplin dan kawalan, serta sentiasa menganggap cerita anak-anak sebagai sahih belaka, tanpa usul periksa dan enggan menginsafi kelemahan diri sendiri, perlu dijauhi, walau bagaimana sekali sayangnya kita pada mereka.

Kata-kata hikmah orang tua kita, ‘Sayangkan anak, tangan-tangankan’ juga tidak harus dipandang sepi, tetapi dikaji bagaimana orang tua kita dulu datang dengan ungkapan yang sedemikian. Pasti ada sebab dan hikmahnya. Ajaran orang tua-tua Melayu, sangat dekat dengan Sunnah dan ajaran Islam itu sendiri. Jangan kita terlalu mengagungkan falsafah pendidikan Barat yang kian terbukti sedang menjunam ke lembah kehancuran. Kononnya memberi hak kepada anak-anak, tanpa meneliti pencabulan hak orang lain yang dilakukan anak-anak kita.

Saya seru semua pihak, untuk kembali kepada ajaran Islam, yang menitikberatkan pendidikan anak-anak dalam membentuk generasi mendatang. Sekiranya keluarga benar-benar berperanan menjadikan rumah sebagai institusi pertama pendidikan yang berjaya, mengikut kaca mata Islam, saya yakin kebejatan ini dapat diminimumkan, malah dapat dibenteras jika betul caranya.

Terlalu banyak usaha pelbagai pihak untuk menyedarkan masyarakat akan kepentingan institusi pendidikan dan tarbiyah di peringkat keluarga, malangnya sering dipandang sepi, terutama oleh pihak bapa, berbanding ibu. Seminar dan kursus keibubapaan yang dianjurkan, menjadi seminar dan kursus KEIBUAN semata, kerana tersangat sedikit para ayah yang hadir. Kebanyakannya menganggap, apa saja isu pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab ibu di rumah, sedang ayah, peranannya mencari rezeki di luar.

Sayang seribu kali sayang, padahal dalam Al Quran terlalu banyak kisah antara anak dan ayah, bukan antara anak dan ibu, untuk kita kaji dan ambil pengajaran. Terlalu banyak contoh yang diberi , melalui kisah Nabi Yaakub AS dan anak-anaknya, termasuk Nabi Yusuf AS. Juga kisah Nabi Ibrahim AS dengan ayah dan juga dengan anaknya sendiri, Nabi Ismail AS, sarat dengan mutiara-mutiara tarbiyah antara ayah dan anak, yang boleh diambil pengajaran daripadanya. Kisah Lukman yang bijaksana juga terpahat dalam Al Quran mengenai seorang bapa dan anak. Bukankah itu semua menggambarkan peri pentingnya peranan seorang ayah dalam mendidik dan membentuk anak-anak?

Saya yakin, ada sebab di sebalik kelalaian ini, dan marilah kita sama-sama mencari puncanya, memperbaikinya dan memulakan lembaran baru dalam menjayakan pendidikan anak-anak kita demi masa depan mereka. Ayah sebagai tonggak dalam keluarga, memastikan anak-anaknya mendapat didikan yang tuntas sejak dari rumah, kemudian tidak diserahkan kepada pihak sekolah semata, tetapi meminta kerjasama guru untuk mendidik anak-anak mereka, pasti beban guru tidak sehebat sekarang. Guru boleh berperanan sebagai tenaga pengajar yang mengajar, di samping menambahbaik didikan anak murid yang mungkin kelompongan di sana sini sahaja. Pastinya anak-anak generasi yang terlahir adalah dalam kalangan mereka yang terdidik dan terpimpin. Maka cerahlah masa depan negara, agama dan bangsa.

Ayuh ibu dan ayah, semak institusi pendidikan kita di rumah, adakah sudah benar-benar berperanan seperti yang sepatutnya, atau bagaimana. Insaflah, bahawa kita akan dipertanggungjawabkan dengan mereka yang di bawah kelolaan kita, dan anak-anak itu adalah aset terpenting kita. Mereka samada akan menjadi asbab terselamatnya kita daripada api neraka, atau sebagai asbab terseretnya kita ke dalamnya. Pilihan ada di tangan kita.

Lapangkan hati dan minda untuk merebut peluang belajar menjadi ayah yang mendidik, bukan ayah yang sibuk, apa lagi hanya tahu mengherdik.

Datin Norzaimeen Abd Kadir
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat
Ikatan Muslimin Malaysia

The post Kelamnya Institusi Pendidikan Keluarga appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 6998360802105334763

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item