Kematian dua pelajar buka mata isu buli, dera

KUALA LUMPUR, 5 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Berita kematian pelajar T. Nhaveen dan Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain pada Jun lepas membuka mata pelbagai pihak tentang isu buli dan dera di negara ini yang semakin membimbangkan.

Kedua-dua kes mendapat liputan meluas media tempatan serta menjadi bualan pengguna media sosial tempatan dan antarabangsa yang rata- rata mempersoalkan tahap kesihatan mental masyarakat khususnya golongan muda di negara ini.

Nhaveen, 18, dibuli dan dipukul dengan kejam oleh sekumpulan remaja di Jalan Kaki Bukit, George Town, Pulau Pinang, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur, dan meninggal dunia setelah lima hari koma di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.

Dalam kejadian 2.10 pagi, 9 Jun itu, rakannya, T. Previin, 19, turut dipukul oleh kumpulan berkenaan menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

Susulan kes itu, empat remaja termasuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town atas tuduhan membunuh Nhaveen dan 11 Januari depan ditetapkan untuk pengurusan kes berkenaan.

Kes kematian Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, akibat didera oleh beberapa rakan seuniversiti selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya menimbulkan persoalan tahap keselamatan di institusi pengajian tinggi.

Penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Elektrik itu meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan lebam dan melecur di bahagian
dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.

Susulan kematian Zulfarhan, sebanyak 36 penuntut UPNM dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selepas siasatan, 19 penuntut UPNM didakwa atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 hari bermula 29 Januari depan untuk perbicaraan kes.

Selain itu, kes enam pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak yang dibuli 10 senior mereka kerana enggan meminjamkan kasut bola turut menarik perhatian umum.

Kes itu berakhir dengan kesemua 10 pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun ditamatkan pengajian selepas didapati bersalah.- Bernama

The post Kematian dua pelajar buka mata isu buli, dera appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian