Menganjak paradigma pemikiran umat Islam

SUDAH lazim kita mendengar semua Presiden Amerika Syarikat bertindak dalam banyak perkara tidak memihak kepada Islam dan terbaharu perisytiharan unilateral Presiden Trump ibu negara bagi Israel di Baitulmaqdis yang memarakkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Hampir mustahil kita dapat mendengar mana-mana Presiden Amerika Syarikat bertindak benar-benar bermanfaat kepada agama Islam. Lepas satu-satu isu mencabar umat Islam ditimbulkan sejak kebelakangan ini sama ada di peringkat negara ataupun antarabangsa. Tidak perlulah saya tuliskan satu persatu kerana senarainya mungkin terlalu panjang.

Kenapa hal sedemikian berlaku kepada umat Islam? Kebejatan dan kemunduran umat Islam ketika ini disebabkan kesilapan dalam meletakkan keutamaan dalam sesuatu permasalahan. Umat Islam perlu beralih dari perspektif konvensional kepada yang lebih baik lagi, melepaskan diri dari mementingkan format dan simbol kepada hakikat dan kandungan. Tidak lagi menumpukan perdebatan yang mementingkan kemenangan kepada perbuatan membuahkan hasil serta meminggirkan sikap emosional kepada menguasai ilmu.

Umat Islam juga perlu mengalihkan tumpuan daripada tidak habis-habis bercakap tentang masalah furuq (cabang) kepada menumpukan ke arah penyelesaian masalah pokok. Mentransformasikan daripada menyusahkan kepada memudahkan, sikap jumud dan taqlid buta kepada ijtihad dan pembaharuan (pengislahan), sikap eksklusif kepada inklusif, berlebih-lebihan kepada sederhana, berkeras kepada hikmah dan pertelingkahan kepada perpaduan serta pendamaian.

Anjakan paradigma dalam erti kata lain ialah melakukan penghijrahan minda. Tindakan ini amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan. Penghijrahan ini merupakan satu proses pembinaan tamadun sebagaimana qudwah yang ditunjukkan melalui sejarah seperti penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah dalam usaha memartabatkan agama ALLAH ini. Akhirnya, tamadun Islam berkembang ke seantero pelosok dunia pasca penghijrahan tersebut.

Naquib Al-Attas mendefinisikan tamadun sebagai pembangunan yang seimbang antara lahiriah (fizikal) dan rohaniah (spiritual). Kedua-dua aspek ini adalah saling bertaut dan sangat penting dalam membentuk swadaya umat yang sempurna. Inilah kehebatan Islam melalui bimbingan wahyu ALLAH serta penjelasan daripada hadis daripada Rasulullah SAW sebagai utusan ALLAH.

Islam juga mempraktikkan konsep komprehensif dan tidak terikat asalkan ia menepati kehendak syariat Islam. Sifat Islam yang fleksibel dalam kehidupan manusia menjadikan agama suci ini memberi ruang dan peluang kepada manusia untuk mencapai kecemerlangan asalkan tidak mengingkari perintah ALLAH SWT.

Dalam konteks dunia Melayu, Syamsul Alam MS dalam bukunya Sistem kebudayaan Melayu tradisi dan hubungannya dengan konsep Islam untuk pembangunan sosioekonomi, menjelaskan faktor-faktor yang memundurkan peradaban Melayu kepada beberapa faktor terpenting seperti kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis yang membawa kepada perubahan fundamental terhadap struktur perekonomian orang Melayu, kejatuhan kuasa politik telah melemahkan ekonomi serta penguasaan perdagangan orang Islam dan diganti dengan etnik cina yang sehingga sekarang mendominasi aktiviti perniagaan rantau ini.

Sebaliknya minat, bakat dan keahlian masyarakat Melayu Islam dalam bidang perdagangan semakin merosot sementara sifat-sifat keusahawanan seperti kreatif, inovatif dan dinamik tidak lagi membudaya dalam kehidupan orang Melayu Islam di negara kita.

Dalam konteks susur galur evolusi umat Melayu di rantau ini, perubahan yang fundamental bermula daripada sektor perdagangan (zaman kesultanan Melaka) kepada pertanian (zaman penjajahan) telah membawa impak yang besar kepada perubahan kebudayaan Melayu Islam.

Perkara ini dapat dilihat daripada segi sikap, pandangan hidup orang Melayu itu sendiri. Pergantungan kepada tanah, keengganan meninggalkan kampung halaman, mengamalkan hidup sekadar sederhana mencorak pola pemikiran dan sistem nilai masyarakat Melayu Islam.

Sifat tidak peka kepada ekonomi, sistem politik dan sosial juga perlukan kepada revolusi minda dan tindakan yang lebih berani dan berpandu untuk mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa bangsa Melayu Islam begitu dimanjakan dengan kemewahan di tanah air ini.

Sudah tentu peradaban dan kecemerlangan sesuatu tamadun itu wahananya adalah ilmu. Hal ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; “Jika kamu ingin berjaya di dunia dapatkanlah dengan ilmu begitu juga di akhirat sana.”

Dengan ilmu umat Islam mampu berfikir dengan terbuka dan lebih matang untuk melihat segala permasalahan yang melanda. Jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa sahaja dalam membuat sesuatu keputusan serta tindakan ia sememangnya hanya akan merugikan umat Islam.

Ketirisan minda umat Islam ini akhirnya akan diambil kesempatan oleh golongan-golongan kuffar untuk menghancurkan Islam secara senyap mahupun terang-terangan dari segi akidah dan akhlak umat Islam.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan Ismaweb.net. Artikel ini disiarkan lebih awal dalam Sinar Harian hari ini 26 Rabiulawam 1439H.

The post Menganjak paradigma pemikiran umat Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian