ismakualaterengganu

PEMBINA Kolej Perubatan UniKL serah RM10,000 bantu rakyat Palestin

IPOH, 26 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL...

IPOH, 26 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin, bagi membantu rakyat Palestin.

Sumbangan tersebut adalah sebagai tanda keprihatinan mahasiswa universiti terhadap konflik yang berlaku di Baitulmaqdis.

Ketua Bahagian Pembangunan Mahasiswa UniKL RCMP, Muhammad Iqbal Samadi menyerahkan cek berkenaan kepada Pengerusi Aman Palestin cawangan Perak, Shahruzzaman Bistaman dalam majlis penutupan program Minggu Kesedaran Ummah anjuran PEMBINA RCMP, bersama Kelab Ibnu Sina (ISC), semalam.

Pengarah Program, Thiya Anissa Ramlan, 20, berkata sumbangan itu dikumpul menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh PEMBINA RCMP, termasuk menjual hampir 300 helai baju amal bertemakan Palestin di seluruh Malaysia serta menerusi persembahan ‘Flash Mob’ bertemakan perjuangan al-Qassam.

Katanya, program intensif lain turut dianjurkan bersama Aman Palestin seperti Training of Trainers dan Gerak Gempur yang membabitkan mahasiswa UniKL Malaysian Spanish Institute.

“Kejayaan kutipan daripada mahasiswa universiti itu juga terhasil melalui sumbangan orang ramai di sekitar bandar raya Ipoh sejak dua bulan lalu.

“Walaupun sasaran RM15,000 belum tercapai, kutipan yang tidak hanya dijalankan di kawasan kampus ini adalah bagi memberi kesedaran, khususnya dalam kalangan generasi muda, terhadap isu pencerobahan Baitulmaqdis oleh pendatang Yahudi yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
“Mungkin kita masih belum mampu berjuang mengangkat senjata mempertahankan pencerobohan tanah suci ketiga umat Islam itu namun kita masih dapat ‘berjihad’ melalui usaha menggerakkan kesedaran masyarakat bagi mencukupkan keperluan saudara seagama kita yang ditindas di sana.

“Apatah lagi warga universiti ini datang daripada bidang perubatan dan sains kesihatan di mana khidmat pengamal perubatan antara yang sangat diperlukan oleh penduduk di negara bergolak seperti Palestin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Nabil Ahmad serta Pengurus Aman Palestin cawangan Pulau Pinang, Budiyanto Unggun yang menjadi anggota panel forum dalam program itu yang dihadiri kira-kira 150 mahasiswa.

Sementara itu, Shahruzzaman berkata, kesepaduan umat tanpa mengambil kira perbezaan ideologi dan fahaman politik sangat diperlukan dalam membela nasib umat Islam di Palestin selain mengharapkan satu resolusi di peringkat kerajaan bagi menghalang Amerika Syarikat (AS) pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Katanya, pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bukan perkara baru yang dirancang oleh Presiden AS, namun ia hanya berani dikuatkuasakan setelah menyaksikan keruntuhan jati diri umat Islam yang tidak lagi bermaya untuk bangkit menentang.

“Jadi kita harapkan kerajaan Malaysia yang dikenali dengan kekuatan diplomasi selaku orang tengah dapat berunding dengan Donald Trump bagi menghalang pengiktirafan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa itu yang dapat membangkitkan kemarahan dan tentangan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

The post PEMBINA Kolej Perubatan UniKL serah RM10,000 bantu rakyat Palestin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 4900164932908913644

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item