Pendakwah Islam Malaysia tiada ilmu falsafah, kata Xifu Naser

BANGI, 8 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Pendakwah Islam di Malaysia dikatakan tidak memiliki ilmu falsafah sehingga menyebabkan mereka gagal berdepan dan bersaing di arena globalisasi.

Malah, institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini juga tidak menyediakan bidang pengajian bagi falsafah tulen (Philosophy) kerana ilmu falsafah hanya mengutamakan perkara remeh, tidak komersial dan teori semata-mata.

Memberi pendapatnya, pendakwah bebas, Ustaz Abdul Naser Abdul Rahman universiti di Malaysia juga tidak membina budaya berfalsafah.

“Saya lihat lebih jauh lagi sebagai pendakwah. Wacana dakwah kita gagal bersaing dalam arena globalisasi kerana pendakwah-pendakwah kita buta falsafah. Sekadar ilmu interfaith tidak cukup kerana serangan terhadap agama sampai ke akar ialah serangan falsafah,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Dalam tulisan itu beliau yang lebih dikenali sebagai Xifu Naser memberi beberapa contoh kejayaan negara dan individu yang memiliki ilmu falsafah, termasuk China, Amerika Syarikat, Karl Marx, Bruce Lee, Stephen Hawking, George Soros dan Einsten.

Katanya, ramai yang cemburu dengan Barat kerana berjaya melahirkan pelbagai wira ilmu, tetapi tidak sedar bahawa bidang ilmu seperti psikologi, sosiologi, sains politik, fizik, sejarah dan teori pendidikan tidak akan benar-benar difahami jika pelajar tidak memahami falsafah.

“Ini adalah kerana kesemua bidang ini adalah dicipta oleh ahli-ahli falsafah. Maka universiti-universiti yang hebat di Barat seperti Harvard, Cambrige, Oxford, Princeton mempunyai tradisi dan departemen falsafah yang lama dan mantap.

“Bahkan pelajar-pelajar di sekolah juga didedahkan kepada falsafah demi untuk meningkat tahap pemikiran kritis. Masalah sistem pendidikan di Malaysia ialah kita ingin naikkan tahap pemikiran tinggi tetapi bidang falsafah tidak diajar. Tanpa kemahiran berfalsafah, tidak mungkin pelajar mampu berfikir tahap tinggi,” katanya.

Ustaz Abdul Naser berkata, kelebihan falsafah ialah ia melatih pelajar untuk menilai permasalahan sampai ke akarnya, bukan sekadar ranting.

“Di sini fikir teori sangat penting supaya dapat hasilkan paradigma yang baharu. Contohnya ramai tertanya-tanya mengapa negara kita gagal melahirkan tokoh fizik seperti Einstein dan Hawking yang mencipta paradigma sains yang baharu? Kita gagal lahirkan Einstein kerana universiti-universiti kita tidak membina budaya berfalsafah,” katanya.

 

The post Pendakwah Islam Malaysia tiada ilmu falsafah, kata Xifu Naser appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian