Polis tahan dua suspek bantu siasatan kes bunuh-gilis di Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 2 Rabiulawal 1439H, Khamis – Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes membunuh seorang lelaki berkaitan perselisihan kumpulan kongsi gelap, Ahad lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki dan wanita berumur 19 dan 22 tahun itu ditahan jam 2.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat banyak cerita palsu, tidak benar dan tiada kaitan dengan kes bunuh itu dikeluarkan sesetengah pihak hingga menimbulkan kegusaran masyarakat.

Pada masa sama, katanya, ia mengganggu siasatan polis yang memfokuskan usaha menangkap suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Kekeliruan dan kegusaran yang ditimbulkan ini terjumlah kepada kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya kerana membuat kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lepas, mangsa berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam, dilanggar dan digilis sebuah kereta oleh sekumpulan 4 lelaki di Taman Pelangi, di sini.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen minyak, sebelum didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.

Mangsa dilaporkan berjaya meloloskan diri seketika, namun dilanggar dan digilis kereta dinaiki 4 lelaki itu yang berjaya melarikan diri.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pembunuhan itu berpunca daripada perselisihan dan perebutan antara 2 kumpulan kongsi gelap serta usaha mengesan mereka giat dijalankan. -Bernama

 

The post Polis tahan dua suspek bantu siasatan kes bunuh-gilis di Johor Bahru appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian