Rumah Selangorku yang disewa mungkin dirampas: EXCO Selangor

BANGI, 24 Rabiulawal 1439H, Rabu – Tindakan pembeli Rumah Selangorku menyewakan kediaman mereka untuk keuntungan disifatkan tidak bertanggungjawab kerana menafikan hak orang lain membelinya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangungan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau memandang serius tindakan terbabit, memandangkan Rumah Selangorku dijual dengan harga di bawah kos pembinaannya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang kepada pemilik kediaman yang berbuat demikian termasuk merampas rumah terbabit.

“Saya sudah memohon kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk mengkaji tindakan yang boleh diambil.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, maka nama mereka terbabit mungkin akan disebar luas kepada umum kerana Kerajaan Negeri amat teliti dalam pemilihan pembeli Rumah Selangorku,” katanya seperti dilapor Selangor Kini.

Menurut Iskandar, pemilihan dibuat berdasarkan sistem merit yang mengambil kira umur, pendapatan bulanan, taraf perkahwinan, jenis kediaman sekarang dan jenis majikan.

Tegas beliau, pemaju tidak boleh sesuka hati menjual Rumah Selangorku itu kepada sesiapa sahaja.

“Rumah Selangorku Jenis A dijual dengan harga RM42,000 sebuah tetapi kos pembinaannya sehingga RM75,000.

“Sementara, Rumah Selangorku Jenis B yang dibina di Bandar Baru Bangi oleh PKNS dijual dengan harga RM99,000 sebuah tetapi dibina dengan kos sehingga RM194,000,” katanya.

Iskandar berkata, kerajaan negeri tidak mahu amalan rumah kos rendah diagihkan kepada pemimpin politik untuk dijual semula atau disewa berulang kembali memandangkan harga pasarannya dianggarkan RM250,000, manakala 142,057 pemohon mendaftar untuk membeli Rumah Selangorku.

“Nama pembeli adalah seperti disediakan LPHS tanpa campur tangan politik, malahan surat sokongan daripada pemimpin politik bukan satu keperluan.

“Dengan keadaan terkini, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan supaya pembeli Rumah Selangorku menandatangani perjanjian tambahan untuk memastikan rumah yang dibeli bagi kegunaan sendiri.

“Kerajaan Negeri pernah sebelum ini memaparkan nama mereka yang ditawarkan Rumah Selangorku pada laman sesawang LPHS supaya ia telus dan memberi peluang kepada mereka yang tidak berpuas hati untuk membuat bantahan. Mungkin ia akan dilaksanakan semula,” katanya.

Sebelum ini, Ismaweb telah menyiarkan satu artikel pembaca bertajuk ‘Nasihat buat kerajaan negeri Selangor sempena Keputeraan Sultan Selangor’.

Menerusi artikel yang disiarkan Isnin lalu mendedahkan  berhubung kebanyakan rumah Selangorku Damai Residensi Bandar Baru Bangi disewakan secara terang-terangan menerusi carian dalam talian, Mudah.my.

The post Rumah Selangorku yang disewa mungkin dirampas: EXCO Selangor appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian