Skandal Tanah Felda jenayah moral paling keji: Perkasa

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 6 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Penyelewengan yang berlaku dalam skandal Tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur adalah penanda bahawa kerajaan perlu mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi Negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sejak kebelakangan ini terlalu banyak penyalahgunaan kuasa berlaku.

“Selepas satu demi satu berita rasuah yang amat menyakiti hati dan jiwa rakyat. Belum pun selesai dan diambil tindakan serta dihukum, terbongkar pula penyalahgunaan kuasa ratusan juta ringgit yang dirompak secara terancang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan media Khamis lalu, berkaitan tanah Felda di Jalan Semarak, dianggarkan bernilai RM200 juta, yang telah bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Mengulangi desakannya sebelum ini, Ibrahim berkata, Perkasa pernah mencadang dan meluluskan usul agar diwujudkan Akta Sabotaj Ekonomi sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan.

Katanya, akta itu sebagai mekanisme yang boleh digunakan untuk mencegah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Melalui akta itu, mereka yang disyaki terlibat boleh ditahan serta-merta selama 30 hari tanpa mendapat perintah mahkamah.

“Penyiasatan lebih cepat dan berkesan jika yang disyaki disiasat sewaktu dalam tahanan sama seperti SOP Akta ISA dulu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, mereka yang terlibat dalam skandal ini dilihat menyamun mengikut saluran dan peraturan.

“Inilah yang dikatakan penyamun cerdik pandai yang menyalahgunakan ilmu diperoleh dengan memiliki ijazah untuk melakukan jenayah moral terhadap kepentingan rakyat dan negara.

“Jika dilihat dari segi undang-undang, ia seolah-olah halal namun nilai yang begitu besar menjadi seperti nilai “dua kupang”. Inilah yang saya katakan sebagai jenayah moral yang amat keji dan wajib dikutuk,” katanya.

The post Skandal Tanah Felda jenayah moral paling keji: Perkasa appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian