Tak masuk akal Kabinet tak tahu IMAMS wujud
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 29 Rabiulawal 1439H, Isnin – Kewujudan sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS), kononnya tanpa pengetahuan Kabinet suatu yang tidak masuk akal, kata Bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.
Beliau berkata, mana mungkin syarikat yang menguruskan hal ehwal berkaitan ibadat orang Islam tidak berada dalam pengetahuan Kabinet.
“Ini bukan syarikat kutip sampah. Takkan syarikat yang mengurus hal ibadat yang sangat sensitif ini boleh dirancang dan dilaksanakan tanpa pengetahuan dan kelulusan pihak tertinggi dalam kerajaan?
“Sangat tidak masuk akal syarikat yang menguruskan sistem IMAMS boleh diwujudkan tanpa pengetahuan Kabinet.
“Kecuali Kabinet berfungsi sebagai kabinet dapur. Bisu. Apa saja yang hendak disumbat, diam saja,” katanya menulis di Facebook beliau, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mendakwa tidak dimaklumkan IMAMS dikendalikan syarikat luar atau swasta.
Katanya, sistem tersebut ada dibawa ketika mesyuarat Kabinet, tetapi tidak ada taklimat terperinci yang diberikan.
Terdahulu, Ismaweb mendedahkan, sistem IMAMS diperkenalkan di mana setiap jemaah perlu membayar RM90.10 setahun dalam bentuk prabayar. RM5.10 daripada jumlah itu dikenakan sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Ku Seman berkata, isu yang dibangkitkan adalah syarikat ini memonopoli.
Dalam kes ini katanya, untuk menunaikan umrah pengguna tidak ada pilihan.
“Tidak ada risiko kecuali orang Islam Malaysia boikot pergi umrah.
“Hari ini semua pihak sepatutnya tahu dan mesti tahu telah cuci tangan, tak tau tak tau tak tau. Si kambing hitam hulurlah leher untuk disembelih,” katanya.
The post Tak masuk akal Kabinet tak tahu IMAMS wujud appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan