Tanah Felda di Jalan Semarak dipindah milik secara rahsia, lapor akhbar

BANGI, 2 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang dianggarkan bernilai lebih RM100 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi meragukan sejak 2015, lapor akhbar.

Berita Harian dalam laporan eksklusifnya mendakwa tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Akhbar berkenaan membuat carian dalam portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mendapati projek menara KLVC Tower1A sudah diluluskan untuk dimajukan dengan bangunan 68 tingkat membabitkan 59 tingkat pejabat, dua tingkat podium pejabat, enam tingkat tempat letak kereta, dua tingkat pakir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.

Akhbar berkenaan memetik sumber memberitahu bahawa pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Coropration Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada Jun 2014 dan diberikan surat wakil kuasa penuh bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Felda pada 2011 hingga Januari lalu. Isa juga adalah Pengerusi Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013.

Pelantikannya menimbulkan persoalan kerana beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO pernah dikenakan tindakan tatatertib kerana mengamalkan politik wang ketika pemilihan UMNO.

Berikutan beberapa siasatan yang dilakukan terhadap Felda, Isa kemudian meletak jawatan pada Jun lalu.

Ogos lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman Isa bagi membantu siasatan terhadap pembelian hotel di London pada 2014 hingga 2015 membabitkan FIC dan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Dalam laporan eksklusifnya, Berita Harian juga melaporkan semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah Felda tiga bulan kemudian.

“Ia agak mengelirukan dari segi urus tadbir kerana Lembaga Pengarah Felda tidak tahu siapa sebenarnya buat keputusan, sama ada FIC atau Felda kerana ketika itu ada orang yang sama duduk dalam FIC dan dalam Felda.

“Felda keluarkan surat kuasa wakil kepada syarikat pemaju untuk bangunkan kawasan terbabit, namun tanah berkenaan kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015,” kata sumber itu kepada Berita Harian.

Akhbar berkenaan turut membuat carian di Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan mendapati satu daripada tanah iaitu lot 390 seluas 16 hektar yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama projek itu pada 21 Julai 2016.

Sehingga kini, Felda dilaporkan tidak membuat sebarang pengumuman mengenai pemindahan hak milik tanah itu atau transaksi pengambialihan tanah antara Felda dengan pemilik baharu tanah itu.

Laporan media pada 14 Mei 2014 lalu menyatakan kawasan itu mulanya dirancang dimajukan sebagai projek pembangunan bercampur komersial dan kediaman dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM500 juta oleh anak syarikat FIC, ENCORP Bhd.

Pada 6 November 2014, DBKL dilaporkan menerima permohonan kebenaran merancang kawasan sama daripada pemaju utama KLVC dan bukan ENCORP.

Berita Harian dalam laporannya turut menyatakan mereka melakukan semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati kontraktor utama projek KLVC adalah sebuah syarikat baharu yang hanya ditubuhkan Januari lalu.

The post Tanah Felda di Jalan Semarak dipindah milik secara rahsia, lapor akhbar appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian