Tiga beradik maut MPV jatuh parit, ibu bapa pula di Makkah

KUANTAN, 4 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Tiga beradik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam parit di Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Kampung Batu Putih di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superitendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, mereka yang terkorban ialah Wan Nur Athirah Wan Kamaruzzaman, 27, yang memandu kenderaan itu, Wan Nur Afifah, 28, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, 14.

Kemalangan yang berlaku pada jam 5 pagi itu turut menyebabkan ibu saudara mereka Salmah Ibrahim, 58, serta anaknya Nurul Aliani Zawawi, 25, cedera di muka dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Kemalangan dipercayai berlaku akibat pemandu gagal mengawal kenderaan menyebabkan kenderaan jenis Chery Eastar yang dalam perjalanan dari Pekan ke Kuantan itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar batu penghadang parit.

“Kenderaan itu kemudiannya terbalik ke dalam parit. Tiga beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kejadian hanya disedari oleh orang awam yang keluar ke tempat kerja pada jam 7.15 pagi.

Katanya, kemalangan berlaku ketika hujan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seorang saudara mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui di Jabatan Forensik HTAA berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu dari Melaka.

“Mereka ke Melaka untuk menziarahi sanak saudara di sana selepas menghantar ibu bapa mereka menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu.

“Saya tahu mengenai kejadian ini kira-kira jam 7 pagi selepas dihubungi Nurul Aliani yang dapat keluar daripada kenderaan selepas beberapa jam kenderaan itu berada di dalam parit,” katanya.

Menurut wanita itu dia dimaklumkan oleh Nurul Aliani yang tiga beradiknya sudah meninggal dunia.

“Luluh hati saya mendengar berita itu… saya tidak tahu bagaimana hendak beritahu ibu bapa mereka yang sekarang berada di Makkah,” katanya.

Katanya, ibu bapa mangsa mengerjakan umrah bersama seorang lagi anak perempuan mereka yang dikenali sebagai Wan Nur Aqilah. – Bernama

The post Tiga beradik maut MPV jatuh parit, ibu bapa pula di Makkah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian