ismakualaterengganu

Tiga imej baharu ikonik penentangan Palestin

BAITULMAQDIS, 3 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Tiga keping gambar yang dirakam dan tersebar di seluruh dunia kini dijadikan ikonik bagi memper...

BAITULMAQDIS, 3 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Tiga keping gambar yang dirakam dan tersebar di seluruh dunia kini dijadikan ikonik bagi memperingati perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan dan pendudukan haram rejim Zionis di bumi mereka.

Sungguhpun, masih tidak mampu mengatasi gambar paling berpengaruh – Gambar Muhammad Al Durrah ketika intifada kedua Palestin – ketiga-tiga imej itu mendapat pujian Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki.

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam, Riyad berkata:

“Ketabahan rakyat Palestin mempertahankan tanah mereka menjadi legenda. Aspirasi mereka demi kebebasan dan integriti adalah sah. Mereka mengharapkan keselamatan dan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak mereka sehari demi sehari, tetapi serangan Israel merampas impian dan masa depan mereka.”

Beliau merujuk kepada imej tiga rakyat Palestin yang dirakamkan dalam gelombang terbaharu bantahan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, menentang tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Rakaman gambar itu menyerlahkan bagaimana askar rejim Israel mengepung kanak-kanak yang tidak bersenjata, menembak seorang lelaki kurang upaya di Gaza dan menculik gadis yang berani dari rumahnya.

Dalam tunjuk perasaan terbaharu menentang keputusan Trump yang juga ingin memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, 10 rakyat Palestin terbunuh, manakala lebih 500 lagi ditangkap.

Ketika intifada pertama Palestin, gambar paling berkuasa dan berpengaruh disiarkan rangkaian televisyen Amerika di mana jurukameranya merakamkan askar Israel mematahkan tulang seorang rakyat Palestin.

Jurukamera CBS News merakamkan gambar empat askar Israel bertindak demikian selepas menerima arahan Menteri Pertahanan, Yitzhak Rabin untuk melaksanakan polisi ‘mematahkan tulang bagi menghalang rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan’, pada 1988.

Mohammad al-Durrah berusia 12 tahun, terbunuh serta-merta di pangkuan bapanya selepas ditembak askar rejim Zionis pada 2000.

Ketika intifada kedua, gambar Mohammad al-Durrah berusia 12 tahun menjadi tular. Beliau terbunuh serta-merta di pangkuan bapanya selepas ditembak askar Zionis di Gaza, manakala bapanya cuba melindunginya daripada peluru rejim.

Gambar itu dirakam oleh jurukamera French TF2, Talal Abu Rahmeh.

Rakaman gambar Mohammad al-Durrah menjadi popular kerana meraih simpati dan menyentuh emosi kemanusiaan. Ia menggerakkan dunia dan sesiapa sahaja yang melihatnya kerana ia mencerminkan emosi manusia sebenar apabila seorang bapa tidak dapat melindungi anaknya yang masih kecil.

Namun, sejak tiga minggu lalu selepas Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, tiga ikonik baru imej menjadi tular yang bermula di Hebron, Gaza dan Kampung Nabi Saleh di Ramallah.

Dua daripada subjek gambar itu kini berada dalam penjara Israel, manakala seorang lagi terbunuh, ditembak di kepala oleh penembak curi Israel.

Imej pertama yang menjadi tular sebaik tunjuk perasaan diadakan adalah dari Hebron, yang menunjukkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dikelilingi sekurang-kurangnya 20 askar rejim Zionis. Remaja itu digari dan matanya ditutup.

Fawzi al-Junaidi, yang kini berdepan tuduhan membaling batu ke arah askar rejim Israel, ditangkap beberapa hari selepas tunjuk perasaan bermula.

Fawzi al-Junaidi berdepan tuduhan membaling batu. – Gambar Anadolu

Dalam tempoh beberapa hari, sekeping lagi gambar mula tular di media sosial.

Ibrahim Abu Thurayyah, 30 tahun, dari Gaza yang kehilangan kedua-dua kakinya dalam serangan Israel pada 2008, ditembak mati di kepala pada 15 Disember lalu – kali ini dengan peluru hidup ketika menyertai tunjuk perasaan menentang keputusan Trump.

Imej beliau menyertai tunjuk perasaan dengan berkerusi roda sambil mengibarkan bendera Palestin dengan cepat mengambil tempat di media sosial.

Abu Thurayyah ditembak mati oleh penembak curi Zionis. – Gambar Reuters

Tidak lama kemudian, gambar ketiga pula mengambil tempat di media sosial.

Gadis Palestin berusia 16 tahun yang berdiri berdepan dengan askar Israel selepas rumahnya digeledah dan sepupunya ditembak di kepala dengan peluru getah, dirakam sedang mengejek askar rejim sambil menjerit menyuruh mereka meninggalkan rumahnya.

Ahed Tamimi dan ibunya ditangkap. – Gambar Al-Jazeera

Anggota tentera tidak memberi tindak balas, dan imej mereka yang tiada reaksi itu dianggap memalukan oleh Israel dan menjadi tajuk utama media.

Askar Israel bertindak mengarahkan penangkapan Ahed Tamimi, yang kemudian diculik dari rumahnya pada awal pagi 19 Disember lalu. Ibunya juga ditangkap ketika mahu bertemunya di dalam tahanan.

Ahed Tamimi dengan pantas digambarkan sebagai wira, sehingga Putera Jordan Ali bin Hussein turut mengulas penangkapan gadis itu dalam akaun Twitternya.

“Adakah ini yang menakutkan Israel @Netanyahu? Gadis muda 16 tahun, yang mempunyai keberanian untuk berdiri mempertahankan haknya sebagai seorang anak dalam menghadapi pencerobohan haram yang melanggar semua norma undang-undang antarabangsa? Bebaskan beliau!! @realDonaldTrump @nikkihaley,” kata Ali.

 

The post Tiga imej baharu ikonik penentangan Palestin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 5875243094257385991

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item