Tun M mahu laksana pengasingan kuasa jika mentadbir

SHAH ALAM, 11 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melaksanakan pengasingan kuasa antara pembuat undang-undang, pelaksana dan penghakiman sekiranya berjaya mengambil semula pentadbiran negara.

Beliau berkata, ia bertujuan mengelakkan penguasaan Perdana Menteri terhadap ketiga-tiga institusi itu.

Pada masa sama, beliau turut bercita-cita memastikan kebebasan bersuara di negara ini dikembalikan sekiranya kemenangan berpihak padanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Katanya, tindakan menyuruh polis menangkap mereka yang berucap atau menyuarakan pandangan di media sosial demi kepentingan politik pihak pemerintah perlu dihentikan.

“Kebebasan bersuara oleh individu dan media akan dikembalikan. Polis tidak lagi akan menyuruh orang tertentu dari parti kerajaan membuat laporan polis terhadap ucapan rakyat, pemimpin mereka atau media sosial supaya sesuatu yang tidak melanggar undang-undang dijadikan jenayah untuk polis menyiasat,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Mesyuarat Agung Tahunan PPBM di IDCC Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan partinya tidak mungkin mengalahkan Barisan Nasional (BN) bersendirian, tetapi mampu melakukannya dengan adanya gabungan parti yang sehaluan.

“Untuk menang kita perlu bergabung dengan parti yang berhaluan sama dengan kita. Sekarang kita sudah tubuh Pakatan Harapan (PH) melalui gabungan empat parti sehaluan.

“Kita perlu ketepikan kepentingan diri dalam parti kita, kita juga sebagai ahli dalam gabungan perlu perpaduan dengan parti lain dalam gabungan dan sokong calon parti rakan dalam pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PPBM menyokong Dr Mahathir untuk memainkan peranan utama dalam barisan kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang.

Ini kerana menurutnya, pengalaman memimpin negara selama 22 tahun, mampu membantu Dr Mahathir memimpin negara menuju kegemilangan.

PPBM hari ini mengadakan mesyuarat agung tahunan pertamanya selepas diberikan amaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Mesyuarat yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal di sini dihadiri 941 perwakilan daripada 137 bahagian seperti yang diumumkan setiausaha agung parti itu Datuk Shahruddin Md Salleh.

Sebelum ini, RoS memberi amaran kepada PPBM kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

The post Tun M mahu laksana pengasingan kuasa jika mentadbir appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian