Arab Saudi tangkap 11 anak raja
RIYADH, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Pihak berkuasa Arab Saudi hari ini dilaporkan menangkap 11 anak raja yang membantah tindakan kerajaan melaksanakan langkah-langkah penjimatan yang menjejaskan mereka, lapor laman sesawang Sabq.
Laporan itu menyebut semua putera raja berkenaan ditangkap ketika berkumpul di sebuah istana bersejarah di Riyadh, kerana membantah tindakan kerajaan menggantung pembayaran bil utiliti mereka.
Sebaik sahaja ditangkap, mereka dilaporkan dihantar ke Penjara Ha’ar yang dilengkapi kawalan keselamatan maksimum di selatan Riyadh.
Arab Saudi baru-baru ini, memperkenalkan langkah transformasi ekonomi, termasuk memperkenalkan cukai nilai tambah (VAT) dan menggantung bayaran bil air dan elektrik kepada keluarga diraja.
VAT dilaksanakan 1 Januari lalu, terpakai kepada pelbagai komoditi, termasuk makanan, pakaian, hiburan, elektronik, telefon, bil air dan elektrik.
Terdahulu, hari ini, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz menandatangani perintah menetapkan langkah pembayaran kewangan bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup.
Mulai tahun depan, setiap kakitangan kerajaan akan diberi bonus SR1,000, anggota tentera yang bertugas di Yaman diberi SR5,000, elaun pelajar dinaikkan 10 peratus, manakala pesara dan penerima bantuan kemasyarakatan diberi SR500 sebulan.
Kadar pengangguran di Arab Saudi dilaporkan meningkat 12 peratus tahun lalu, berikutan keadaan ekonominya yang merudum setelah harga minyak jatuh. – Sabq
The post Arab Saudi tangkap 11 anak raja appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan