Artis lelaki gelar Nabi Muhammad sebagai ‘Che Mat’ perlu bertaubat: Mufti Perak
IPOH, 21 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Perbuatan menggelar Nabi Muhammad SAW dengan sebarang nama panggilan yang tidak sewajarnya adalah haram dan perlu bertaubat, demikian tegas Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Beliau berkata perbuatan tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Rasullullah yang merupakan kekasih Allah dan sebagai umat Islam perbuatan tersebut tidak boleh dipandang ringan.
“Jangan cakap tidak tentu pasal atau berlawak (berkenaan Nabi Muhammad dan agama),” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas tindakan seorang artis lelaki dalam satu program stesen televisyen swasta yang menggelar Nabi Muhammad SAW sebagai “Che Mat”.
Perbuatan artis itu dalam rakaman program yang tular di media sosial itu dikecam masyarakat sehingga terdapat pendakwah dan penceramah agama yang menggesa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan tegas.
Sehubungan itu, Harussani berkata JAIPk perlu memberi perhatian terhadap perbuatan artis berkenaan yang bermastautin di Perak dengan memanggilnya untuk memberi keterangan.
“Tanggungjawab JAIPk panggil individu tersebut supaya (isu ini) tidak berlanjutan,” katanya. – Bernama
The post Artis lelaki gelar Nabi Muhammad sebagai ‘Che Mat’ perlu bertaubat: Mufti Perak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan