Bagaimana nak anak-anak tidur awal malam?

SAYA pernah berniat untuk kongsi amalan atau tips ini ketika cahaya mata pertama kami, Along ST, berusia 1 tahun. Tetapi kang nanti dikecam “Baru ada seorang anak sudah nak tulis tips nak bagi anak tidur awal, anak pun baru umur 1 tahun… poyo!” Jadi, saya tangguhkan perkongsian.

Lama punya ‘peram’ sampailah sekarang Along sudah berusia 6 tahun 6 bulan, konsisten tak pernah berjaga malam sejak usia bayi, selewat-lewatnya jam 9 malam pasti tidur setiap hari, dan bangun sekitar waktu Subuh setiap pagi.

Lama tu lebih 5 tahun saya peram perkongsian ini!!!

Along kini sudah punya 2 orang adik, iaitu cahaya mata kedua kami, angah IY yang kini berusia 4 tahun 3 bulan dan cahaya mata ketiga kami, Aboy HE yang berusia 1 tahun 1 bulan.

Sepanjang 6 tahun 6 bulan (ikut usia Along) saya dan isteri bergelar bapa dan ibu, kami tak pernah berjaga malam kerana anak-anak bermain, tak mahu tidur, merengek tak tentu pasal. Jam 9 malam secara konsisten anak-anak masuk tidur dan bangun sekitar Subuh setiap pagi.

Pengalaman dengan 3 orang anak ini, sepanjang malam anak-anak akan tidur, kecuali masa nak menyusu (logiklah, anak kecil), tetapi menyusu ini tidak dikategorikan sebagai berjaga. Kalau waktu demam pun selalunya tidur tetapi mahu diriba atau dipeluk, kerana tidak sihat atau perlukan perhatian. Saya dan isteri memilih untuk berjaga sebab nak pantau suhu dan keadaan anak-anak, bukan sebab anak-anak tak nak tidur.

Saya kongsi apa yang saya dan isteri saya buat. Mana yang baik, ambillah. Mana yang tak baik, abaikanlah. Ini bukan tulisan arahan, ini bukan tulisan menyuruh memaksa. Ini adalah perkongsian pengalaman 6 tahun sebagai ibu bapa dan punya 3 anak kecil. Bukan membangga diri, tetapi berkongsi untuk diambil manfaat oleh ibu bapa yang mahu.

Papa adalah saya, mama adalah isteri saya, supaya lebih mudah faham.

1) Disiplin tidur ibu mengandung

Kandungan berusia 6 minggu, baru kami tahu mama mengandungkan Along. Ketika itu tahun 2010, kami berada di Australia nak menghabiskan tahun akhir pengajian ijazah (Bachelor degree). Seperti yang kita faham, apa sahaja ‘perangai’ ibu mengandung akan diikuti oleh si anak. Maka bermulalah disiplin tidur ibu mengandung yang mama amalkan.

Jam 10 malam, mama kena berhenti daripada melakukan semua aktiviti fizikal dan masuk bilik untuk mula rehat. Ada masanya mama buat sudoku, baca buku, tilawah al-Quran, menonton video atau mendengar ceramah. Sekitar 11 malam, mama akan tidur.

Untuk disiplin ini, papa ambil alih tugas-tugas rumah. Kemas rumah atau cuci pinggan mangkuk segala bagai, papa kena buat. Sudah jam 11 malam, mama mengandung kena rehat.

Bermula dengan set jam loceng sehinggalah sudah terbiasa, mama akan bangun selewat-lewatnya setengah jam sebelum waktu Subuh. Ketika di Australia ketika itu musim panas, mama bangunkan diri daripada tidur sekitar jam 4 pagi kerana Subuh masuk jam 5 pagi. Amalkan qiyamullail, bersolat malam, sekurang-kurangnya 2 rakaat Solat Taubat, atau 2 rakaat Solat Hajat. Kalau larat, buat lebih. Apabila mama balik Malaysia, jadual berubah kerana masuk tidur jam 11 malam dan bangun sekitar jam 5.30 pagi kerana Subuh masuk sekitar 6.15 pagi. Ikut situasi.

Selepas Subuh, mama takkan tidur. Buat aktiviti mana yang patut, asalkan tak tidur. Seboleh-bolehnya, makan sarapan pagi. Kalau penat sangat pun, tidur selepas jam 8 pagi (selepas terbit matahari). Tidurlah sekejap, ikut keadaan kesihatan.

2) Disiplin masa tidur sejak dari bayi; siang cerah, malam gelap

Hari pertama Along dilahirkan, mama amalkan disiplin yang sama tetapi ubah masa. Masuk waktu Maghrib, bilik tidur akan digelapkan (tutup lampu). Bukan nak tidur terus selepas waktu Maghrib, tetapi untuk ‘mengajar’ bayi bahawa siang sudah berganti malam. mama menyusu dalam keadaan gelap, hanya diterangi lampu tidur (saiz kecil, night light, ada dijual di Mydin atau kedai Mr DIY) supaya Mama boleh nampak nak menguruskan bayi.

Walaupun ada cabaran-cabaran tersendiri dengan kelahiran pertama seperti susu badan belum banyak dan mama papa masih kekok nak urus bayi, tetapi alhamdulillah semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Along tidur sepanjang malam, hanya bangun nak menyusu sahaja.

Tiba waktu Subuh, papa akan hidupkan lampu untuk cerahkan bilik. Bayi bangun menyusu dalam keadaan bilik cerah. Nak mengajar bayi bahawa malam sudah berganti siang pula.

Sepanjang siang, jangan gelapkan bilik atau ruang yang mama guna. Alhamdulillah sepanjang pantang, bayi tidur di ruang cerah sepanjang siang dan tidur di ruang gelap sepanjang malam. Jadual tidur bayi konsisten tidur sepanjang malam sekitar Isyak dan bangun sekitar Subuh, hanya bangun menyusu sahaja.

Ada ibu bapa muda yang risau anak-anak kecil tidur dalam bilik gelap – this is OK. Tak salah apabila kita risau. Tapi apabila terlalu risau, boleh jadi salah. Kalau tak nak betul-betul gelap, boleh guna night light yang kecil macam kami.

Yang penting, siang itu cerah, malam itu gelap. Siang untuk aktiviti, malam untuk tidur.

3) Teruskan sepanjang membesar dan sehingga membesar

Alhamdulillah dari hari pertama Along melihat dunia, disiplin masa tidur yang kami amalkan ini diikut oleh Along. Apabila nak masuk waktu Maghrib je Along akan berhenti buat aktiviti main dan sebagainya, mama dan papa mandikan dan syampu seluruh badan, Along akan menyusu dan tidur sepanjang malam.

Ini adalah salah satu rahsia kenapa papa yang merupakan pelajar PhD ketika itu boleh ada masa nak buat kerja atau menulis proposal pada waktu malam, kerana tak perlu berjaga malam dengan anak. Mama pun rehat sepanjang malam, alhamdulillah.

Cabaran bermula apabila Along sudah mula pandai berjalan, usianya 1 tahun, Along sudah mula kurang tidur siang. Kami mula risau adakah disiplin masa tidurnya akan berubah. Sangkaan kami meleset kerana ikut pengalaman kami, semakin banyak aktiviti anak semasa siang, anak akan kepenatan dan tidur awal pada malamnya. Ketika ini Along merengek nak tidur sekitar jam 5 petang, kami mandikan, sekitar jam 5.15 sudah masuk waktu Maghrib di Australia (musim sejuk), Along akan menyusu dan tidur sepanjang malam sehingga ke sekitar waktu Subuh. Lebih kurang 11 jam cukup untuk tidur malam, selebihnya 2 hingga 3 jam jam tidur siang. Anak seusia 1 hingga 3 tahun perlukan waktu tidur sekitar 12 hingga 14 jam sehari.

4) Anak kedua ikut pattern tidur anak pertama

Along mengikut disiplin tidur ini secara konsisten sehingga berusia 2 tahun 3 bulan ketika menerima kelahiran adiknya, cahaya mata kedua kami iaitu Angah IY.

Mama mula tumpukan perhatian lebih kepada bayi, mengikut disiplin tidur yang sama kami amalkan ketika Along masih bayi dulu. Sekitar waktu Maghrib-Isyak, Mama menguruskan bayi yang nak tidur.

Oleh sebab mama perlu jaga bayi baru, Papa perlu menguruskan Along. Kerjasama papa sangat penting untuk memastikan pattern dan jadual tidur Along berterusan. Papa akan pastikan Along melakukan pelbagai aktiviti pada waktu siang, tidur yang produktif (maksudnya tidur dalam 1 hingga 2 jam pada siang) dan bermain, belajar, pada waktu tidak tidur. Bak kata orang, “Biar anak penat waktu siang, jadi anak akan tidur pada waktu malam...” Lebih kurang beginilah. Alhamdulillah, berjaya.

Angah, dari usia bayinya sehingga membesar dan merangkak, mengikut disiplin tidur malam yang sama seperti Along.

Sepanjang membesar, kami menjangkakan cabaran yang pelbagai. Tetapi semuanya jadi mudah kerana Angah ‘mengikut’ disiplin Along. Along nak tidur, Angah pun jadi nak tidur. Jadi disiplin ini berterusan…

5) Luang masa bersama anak ketika nak tidur

Sudah semestinya anak-anak kecil takkan tidur sewenang-wenangnya sebegitu. Ada beberapa perkara yang kami lakukan untuk ‘tidurkan’ anak-anak. Lebih kurang nak pujuk supaya tidurlah, katakan.

– Bercerita

Anak-anak, sejak kecil, sudah boleh faham apa sahaja kita cakap. Bercerita apa sahaja, anak-anak akan seronok. Apabila Papa bercerita di katil, duduk baring di katil bersama Along dan Angah, kedua-duanya akan dengar dengan baik, dan akhirnya ketiduran. Boleh cerita kisah nabi, kisah haiwan, dongeng dan sebagainya. Papa pernah cerita kisah Cinderella, tetapi papa ubah sikit ceritanya supaya lebih Islamik. Iaitu perubahan Cinderella bukan dari baju buruk kepada baju cantik, tetapi dari pakai seksi kepada berpakaian menutup aurat dan bertudung.

Apabila papa tak ada idea nak bercerita, papa akan bacakan buku cerita. Apabila tak ada idea lain, papa akan menyanyi lagu-lagu yang menenangkan.

– Bacaan al-Qur’an dan selawat

Ini paling mujarab. Papa selalu bacakan Surah As-Saff, anak-anak akan mengikut bibir dan akhirnya tidur. Rasa bahagia sangat apabila Along dan Angah tenang dan akhirnya tidur dengan bacaan al-Qur’an yang papa sendiri bacakan.

Mama buat perkara sama. Bahkan mama lebih konsisten dan istiqamah kerana mama menyusu badan buat Along dan Angah. Masa yang banyak antara mama dan anak-anak menjadikan bonding yang cukup kuat. Alhamdulillah… Anak-anak jadi menurut kata, dengar dan taat, alhamdulillah, dari segi disiplin dalam rumah, tidur dan bermain (kemas barang selepas main). It is all about bonding…

– Tempat tidur yang selesa

Sediakan katil yang selesa, ruang yang menenangkan untuk anak-anak tidur. Kalau bilik bersepah, kita pun tak nak tidur.

– Temankan anak

Jangan kita arahkan atau suruh anak-anak pergi tidur tapi kita dok depan TV layan drama. Papa akan temankan anak-anak dalam bilik, bercerita dan semuanya, sehingga anak-anak tidur. Selepas itu Papa Mama keluarlah ke ruang tamu untuk urusan lain.

– Pamerkan kasih sayang

Peluk cium anak-anak kita. Kena buat mereka rasa dilindungi, disayangi dan dihargai. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah seharian di luar, semasa nak tidur inilah masa untuk kita tunjukkan kepada anak-anak tentang we care, we love and we want the kids to know we love them.

6) Bersedia dengan cabaran baru

Kami dipermudahkan kerana Along dan Angah mengikut disiplin masa tidur yang kami usahakan. Adakah kerana kedua-duanya anak perempuan maka mereka mudah mengikut? Mungkin.

Cahaya mata ketiga kami lahir ketika Angah menjengah ke usia 3 tahun 2 bulan (ketika itu Along berusia 5 tahun 5 bulan). Seorang anak lelaki dilahirkan memberi pengalaman baru kepada kami sebagai Papa Mama nak menguruskan. Jenis lampin yang lebih meresap (kerana kencing baby boy lebih banyak daripada baby girl), kuantiti susu lebih banyak dan masa menyusu yang lebih panjang/lama, dan pelbagai lagi.

Oleh kerana mama menguruskan bayi, Papa bertanggungjawab menguruskan Along dan Angah. Disiplin tidur perlu diikut. Siang untuk aktiviti, tidur siang sekadar 1 hingga 2 jam, dan waktu Maghrib untuk khidmat diri, sekitar selepas Isyak Along dan Angah diajak masuk ke bilik untuk bacaan dan seterusnya tidur.

Alhamdulillah Aboy ikut disiplin yang sama. Kami mandikan sekitar waktu Maghrib dan akan menyusu seterusnya tidur sekitar waktu Isyak.

7) Mama sedang hamil perlukan disiplin tidur, papa berperanan urus anak-anak yang besar

Poin nombor 1 iaitu “Disiplin Tidur Ibu Mengandung” diamalkan mama bagi anak kedua dan ketiga. Oleh kerana mama mengandung, Papa kena main peranan uruskan anak-anak ketika tiba waktu tidur.

Suami kena bagi can la, isteri tengah mengandung, kan…

8) Pengorbanan paling mencabar; tak boleh keluar malam

Poin nombor 8 ini paling simple, tetapi boleh jadi paling mencabar. Apabila senja saja, anak-anak sudah terbiasa untuk khidmat diri (mandi dan pakai baju tidur), tak kisah di mana sahaja. Ikutilah disiplin selagi mana di rumah dan tempat-tempat bersesuaian.

Ketika bermusafir (contohnya kami dalam perjalanan ke mana-mana, atau tengah berada di lapangan terbang menunggu penerbangan Australia-Kuala Lumpur, Kuala Lumpur-Kota Bharu atau sebagainya, terpaksalah pujuk-pujuk anak supaya tidur di strollers atau di riba atau dukungan kita.

Ketika berada di restoran, seboleh mungkin kami akan pergi sebelum waktu Maghrib. Siap order makanan, papa mama bergilir pergi solat – kami wajib pilih restoran yang ada sediakan surau. Makan-makan selepas itu dan seterusnya pulang ke rumah. Bersedialah anak-anak tidur dalam kereta sepanjang perjalanan pulang. Papa-lah jadi tukang dukung Along dan Angah dari kereta masuk ke bilik.

No such things as pergi shopping waktu malam bersama keluarga dan sebagainya. Kalau tetamu datang rumah pada waktu malam pun papa dan mama akan mention datang sebelum Maghrib atau selepas waktu Isyak sebab waktu Maghrib-Isyak adalah waktu kritikal kami nak uruskan anak-anak nak tidur. Biasanya jika anak-anak belum tidur apabila tetamu datang selepas Isyak, Along dan Angah akan bersalam dengan tetamu langsung masuk ke bilik untuk tidur sendiri walaupun papa atau mama tak temankan mereka. Sudah terbiasa.

9) Doa

Papa dan mama adalah dua individu yang cukup sibuk. Dulu kahwin masa belajar, sibuk. Dapat anak ketika belajar, juga sibuk. Anak membesar ketika buat PhD, juga sibuk. Bekerja dan aktiviti dakwah tarbiah sejak bujang sehingga kini punya anak 3 orang, sangat sibuk. Urusan ibu bapa, adik-beradik dan keluarga, memang sibuk. Jadi kami cuba sedaya upaya mendisiplinkan tidur anak-anak pada waktu malam supaya malam kami boleh menelaah pelajaran, buat kerja-kerja tertangguh, rehatkan badan dan minda, dan paling penting malam boleh bermunajat kepada Allah untuk tenangkan jiwa, menunaikan hak Tuhan pula…

Doa banyak-banyak moga Allah SWT kurniakan anak-anak yang mudah dijaga, sihat, soleh/ah dan menyenangkan jiwa-jiwa kita sebagai ibu bapa. Doa banyak-banyak dan bersyukur.

Percayalah saya kata, sepanjang ini semua berlaku, tetap ada ruang papa nak ke masjid bersolat Subuh dan solat Isyak. Ada masanya jadi makmum muaafiq, ada masanya makmum masbuq. Ada masanya sempat, ada masanya ketinggalan. Mana-mana yang mampu… Mama solat di rumah, semestinya, dengan peranan Papa uruskan anak-anak jika ada yang menangis nak susu dan sebagainya ketika Mama nak solat.

Mengikut tahun kelahiran, Along sekarang berusia 7 tahun, bersekolah Darjah 1 tahun 2018 ini. Hari ini hari ke-9 persekolahan, tiada rekod saya atau isteri mengejutkan Along bangun pagi kerana Along bangun sendiri apabila dengar azan. Setiap pagi bangun sendiri untuk ke sekolah (Along tak bersekolah sebelum ini, kecuali 3 bulan pengalaman on-off ke tadika). Malamnya pula Along akan buat kerja sekolah dulu sebelum tidur. Lewat sikit tidurnya sekitar 9.30 malam, tetapi masih acceptable.

Angah dan Aboy masih tetap mengikut disiplin tidur sekitar jam 8.30 malam. Setiap hari apabila Along bangun sendiri apabila dengar azan Subuh, Angah pun turut sama bangun, ada masanya turut sama mandi kerana mengikut Along mandi. Aboy pula bangun juga sekitar azan Subuh, masih kecil, merengek nak susu atau nak didukung adalah perkara biasa. Rumah kami dah terbiasa Subuh berlima iaitu Papa, Mama, Along, Angah dan Aboy, semuanya sudah bangun. Kami bahagia sebegini. Alhamdulillah…

Mana yang boleh diamalkan oleh pasangan ibu bapa yang membaca, silakan ambil. Ramai yang minta kami kongsikan tips, amalan dan pengalaman tentang isu ni. Mana yang tak sesuai, abaikan saja ye. Apa yang saya tulis ni secara umum, semua orang boleh amalkan… In-syaa-Allah, moga Allah permudahkan. Lain anak, lain ragamnya. Kita sebagai ibu bapa kena bersabar dan berkreatif…

Ini tulisan berkaitan disiplin tidur anak-anak ye, bukan perihal lain (kita bincang dalam penulisan lain, in-syaa-Allah).

Sesungguhnya menjaga anak memerlukan fungsi si ibu dan si ayah secara kolektif dan bersama. Jika pasangan kita tidak dapat bersama kita sepanjang perjuangan membesarkan anak-anak, bersabarlah, Allah SWT pasti mempermudahkan dengan bantuan lain (seperti ibu bapa, rakan-rakan, pembantu rumah dan sebagainya). Jika masih sukar, bersabarlah moga nanti dapat bersenang-senang di syurga. Aameen.

Daripada tulisan yang panjang ini ialah kita nak anak berdisiplin, kita sebagai ibu bapa perlu berdisiplin terlebih dahulu. Barulah anak-anak mengikut…

Dr Syahr Musafir
Rahimah Ab.Rahman

Artikel ini disiarkan terlebih dahulu di Facebook Syahr Musafir

 

The post Bagaimana nak anak-anak tidur awal malam? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?