Baitulmaqdis: Bekas Imam Besar al-Aqsa zahirkan penghargaan terhadap pendirian Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Bekas Imam Besar Al-Aqsa, Syeikh Ekrima Said Sabri pada Rabu menzahirkan penghargaan serta sokongan terhadap pendirian Malaysia dalam isu Baitulmaqdis dan Palestin.

Perkara itu dinyatakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menerusi akaun Facebook rasmi pejabat mufti itu pada Rabu.

Zulkifli, yang mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Sheikh Ekrima di luar Persidangan Al-Azhar Sedunia Bagi Membela Baitulmaqdis, berkata Imam Besar Al-Aqsa itu melahirkan rasa penghargaan yang amat tinggi kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan padu kepada Palestin.

Persidangan anjuran bersama Al-Azhar As-Syarif dan Majlis Ketua-Ketua Umat Islam itu berlangsung selama dua hari bermula pada Rabu di Pusat Konvensyen Al-Azhar di Madinah Nasr, Kaherah, Mesir.

Al-Azhar As-Syarif adalah sebuah institut ilmu Islam terbesar di dunia dan berperanan memelihara warisan Islam, di samping mempromosikan keamanan, keharmonian, konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dan penyelidikan dengan membawa mesej Islam sebenar kepada masyarakat di seluruh dunia.

Zulkifli diundang untuk memberi pandangan dalam persidangan yang dihadiri para ulama dan pemikir Islam dari seluruh dunia.

Untuk rekod, Sheikh Ekrima pernah melawat Malaysia sebanyak dua kali. Kali pertama ialah pada 2003 dan terbaharu pada Oktober lepas, yang menyaksikan beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau pernah dikenakan tahanan rumah oleh Israel seperti yang dilalui Presiden Palestin, Yasser Arafat.

Pada Julai tahun lepas, Sheikh Ekrima dilapor mengalami kecederaan sejurus menunaikan solat di luar pintu Masjid Al-Aqsa ketika polis Israel cuba menyuraikan penunjuk perasaan menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin cedera.- Bernama

The post Baitulmaqdis: Bekas Imam Besar al-Aqsa zahirkan penghargaan terhadap pendirian Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian