Dakwaan risiko Empangan Chereh pecah tidak benar
KUANTAN, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Dakwaan bahawa Empangan Chereh di Sungai Lembing di sini berisiko untuk pecah pada bila-bila masa yang tular di media sosial adalah tidak benar, kata polis.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh yang mengesahkan perkara itu berkata orang ramai juga tidak seharusnya berkongsi maklumat itu di akaun Facebook atau kumpulan Whatsapp mereka.
“Jangan mudah tularkan perkara tidak benar. Jika terima, padam sahaja atau jika tidak pasti, dapatkan pengesahan pihak berkuasa. Setiap kali banjir, ada sahaja pihak yang suka mencetuskan benda yang tidak betul.
“Perkara sebegini boleh menimbulkan kegusaran orang ramai. Tidak tahu apa tujuan berbuat demikian tapi ia hanya mencetuskan suasana panik,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penyebaran berita kononnya empangan itu akan pecah pada bila-bila masa dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah membuat pengumuman supaya orang ramai bersiap sedia.
Berita berkenaan tersebar sejak semalam kononya penduduk Kuantan masing-masing sedang menyelamatkan diri berikutan keadaan itu dan Temerloh serta Maran juga dilanda banjir gelombang kedua sedangkan keadaan di kedua-dua daerah berkenaan masih terkawal walaupun hujan masih berterusan.
Sementara itu, jurucakap PAIP yang turut menafikan kenyataan itu berkata, jika timbul sesuatu keadaan, pengumuman tersebut tidak akan dibuat oleh PAIP.
“Empangan Chereh bukan dalam bidang kuasa PAIP kerana ia sebenarnya di bawah pengurusan Badan Kawal Selia Air Pahang. Jadi bagaimana pula PAIP yang dikatakan membuat pengumuman itu,” katanya.
Beliau berharap orang ramai tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah kepada PAIP kerana mereka juga sentiasa memastikan semua aspek keselamatan empangan dipatuhi termasuk pada musim tengkujuh. -Bernama
The post Dakwaan risiko Empangan Chereh pecah tidak benar appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan