Deklarasi Kaherah gesa PBB bertindak segera henti pelaksanaan keputusan AS dalam isu Baitulmaqdis

 

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilawal 1439H, Jumaat– Persidangan Al-Azhar Sedunia yang melabuhkan tirainya pada Khamis, bersetuju menerima pakai Deklarasi Kaherah yang menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera bagi menghentikan pelaksanaan keputusan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Deklarasi 13 perkara itu turut menyeru komuniti dunia, termasuk kerajaan Dunia Islam, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), berusaha sedaya upaya mewujudkan pendapat umum global terhadap dasar-dasar yang mencabul hak asasi manusia serta kebebasan.

Persidangan itu juga komited menyatakan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sampai bila-bila.

“Kewujudan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, mesti diterima, diumumkan secara rasmi dan diiktiraf oleh dunia,” demikian menurut deklarasi itu yang disiarkan menerusi portal rasmi Pejabat Sheikh Al-Azhar.

Deklarasi itu juga menegaskan bahawa identiti Arab Baitulmaqdis tidak boleh diubah kerana telah termaktub dalam lipatan sejarah sejak ribuan tahun dan sebarang percubaan rejim Zionis tidak akan dapat memalsukan fakta ini.

Malaysia diwakili Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam persidangan dua hari itu, yang dinaungi Presiden Mesir Abdul Fattah as-Sisi.

Zulkifli diundang untuk memberi pandangan dalam persidangan itu, yang dihadiri ulama dan pemikir Islam dari 86 negara.

Penganjur persidangan, Al-Azhar As-Syarif, merupakan sebuah institut ilmu Islam terbesar di dunia serta berperanan memelihara warisan Islam selain mempromosi keamanan, keharmonian, konsep wasatiyyah dan penyelidikan serta membawa mesej Islam sebenar kepada masyarakat antarabangsa. – Bernama

The post Deklarasi Kaherah gesa PBB bertindak segera henti pelaksanaan keputusan AS dalam isu Baitulmaqdis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian