Denda RM1,000 atau penjara enam bulan ponteng solat Jumaat

BANGI, 29 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Kali ini Kuala Pilah Negeri Sembilan pula menguatkuasakan hukuman denda kepada lelaki Islam baligh yang sengaja meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa sebab munasabah.

Denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan akan dikenakan sekiranya mereka tidak menunaikan solat Jumaat tanpa uzur syarie mengikut Seksyen 113 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (EJSNS) 1992.

Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Pilah, Mohd Raizalani Mohd Rais berkata, hebahan surat pekeliling kepada seluruh 68 masjid sudah dikeluarkan pada 4 Januari lalu bagi memberi kesedaran berkenaan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.

Katanya, arahan berkenaan adalah kali pertama dikeluarkan demi memastikan semua lelaki Islam hadir ke masjid.

“Kita minta pihak pengurusan masjid di daerah ini membuat hebahan dan edaran kepada ahli kariah ketika solat Jumaat dan menampal pekeliling di papan kenyataan,” katanya seperti dilapor My Metro.

Jelas beliau, hukuman denda itu dikuatkuasa selepas pihaknya menerima aduan yang mendakwa terdapat lelaki Islam yang berada di luar masjid dan berkeliaran di premis perniagaan serta tempat awam ketika solat Jumaat.

“Ia dilihat mencemarkan imej agama Islam sendiri selain mencerminkan sikap kurang ambil peduli mengenai hukum,” katanya.

Sebelum ini, Terengganu, Kedah, Perak juga mengenakan hukuman denda kepada umat Islam di negeri masing-masing jika tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

Terengganu mengenakan denda RM3,000 dan penjara tidak lebih dua tahun, manakala Kedah dan Perak denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

The post Denda RM1,000 atau penjara enam bulan ponteng solat Jumaat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian