Dua lelaki dirawat selepas minum kopi berperisa buah tempatan

GEORGETOWN, 13 Jamadilawal 1439H, Selasa – Dua lelaki mengalami simptom letih dan lemah yang teruk sehingga terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, dipercayai selepas meminum sejenis kopi.

Ismaweb.net turut mengesan berita tular itu yang mendakwa empat individu menerima rawatan di HPP yang mengalami sympathomimetic toxidrome (bacaan BP tinggi, tachycardia, dilated pupils, sweating dan restlessness), selepas minum kopi berperisa buah tempatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, dua lelaki itu masih menerima rawatan di HPP dan dilapor berada dalam keadaan stabil.

“Mereka mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP hari ini kerana mengalami beberapa simptom antaranya letih dan lemah yang teruk. Dua lelaki itu mendakwa gejala berkenaan berlaku selepas minum sejenis kopi.

“Pihak kami menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan dua lelaki itu serta sedang membuat beberapa ujian termasuk ujian darah ke atas mereka untuk mengenal pasti punca sebenar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan sampel kopi berkenaan untuk diuji bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada minuman itu atau tidak.

Dr Wan Mansor berkata, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mendapat keputusan berhubung ujian terhadap mangsa dan sampel kopi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami simptom sama supaya mendapatkan rawatan segera di mana-mana klinik atau hospital berdekatan mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdulah dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini berkata, pihaknya mengesan berita yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp berhubung beberapa pesakit yang mendapatkan rawatan di HPP selepas meminum sejenis kopi.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang membuat siasatan mendalam mengenai perkara itu dan akan memaklumkan kepada umum sebaik mendapat kepastian.

“Masyarakat dinasihat supaya menjaga kebersihan dan keselamatan makanan atau minuman serta segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan sekiranya mengalami apa-apa gejala penyakit,” katanya. – Bernama

The post Dua lelaki dirawat selepas minum kopi berperisa buah tempatan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian