Gerhana bulan penuh pada 31 Januari

BANGI, 29 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 31 Januari ini.

Fenomena tersebut akan mengambil masa selama 5 jam 17 minit, bermula jam 6.51 petang hingga 12.08 malam (1 Februari 2018).

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan berkata, gerhana yang berlaku di Semenanjung ketika bulan terbit di ufuk Timur, manakala Sabah dan Sarawak, fenomena ini akan bermula selepas bulan terbit.

Menurut kenyataan itu, fasa gerhana penuh maksimum adalah pada 9.29 malam dan akan berakhir pada jam 12.08 tengah malam (1 Februari 2018).

“Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari 2018, bulan juga sebenarnya baru sahaja melepasi kedudukan perigee iaitu pada 30 Januari 2018 dengan jarak 358,993 kilometer dari bumi, dan sekali gus menjadikan gerhana kali ini ‘Gerhana Supermoon’,” katanya.

Selain Malaysia, gerhana bulan penuh dijangka turut berlaku di Timur Eropah, Timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara.

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan dan kemudiaanya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

Warna kemerahan yang akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 31 Januari 2018 berbeza daripada gerhana-gerhana bulan penuh lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi serta kedudukan bulan di sepanjang orbitnya.

Angkasa berkata, tiada peralatan tertentu diperlukan oleh orang ramai untuk menikmati fenomena itu, sebaliknya bergantung kepada keadaan cuaca di tempat masing-masing.

“Namun begitu, penggunaan teleskop dan binokular akan dapat membantu untuk melihat dengan lebih jelas,” katanya.

Serentak itu, Observatori Negara Langkawi dan Angkasa akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena tersebut.

Menurut Angkasa, beberapa teleskop mudah alih akan disediakan kepada pengunjung yang hadir dan penyertaan adalah percuma.

Antara lokasi lain boleh dikunjungi orang ramai untuk aktiviti pencerapan adalah Planetarium Negara, Kuala Lumpur; Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor dan Balai Ceral Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.

Orang ramai juga boleh mengunjungi Pantai Tok Jembal, Terengganu; Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah dan Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan.

Selain pada 31 Januari ini, rakyat Malaysia juga berpeluang menyaksikan fenomena sama yang dijangka kelihatan pada 28 Julai 2018.

The post Gerhana bulan penuh pada 31 Januari appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian