Golongan pendidik diseru hadir ke Konvensyen Kebangkitan Ummah
KUALA LUMPUR, 17 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Golongan pendidik diseru hadir ke Konvensyen Kebangkitan Ummah yang akan berlangusng di Dewan Muktamar, Pusat Islam, di sini pada 13 Januari ini.
Ini kerana, kata Ketua Eksekutif Majlis Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MAKPEN), Mohd Zai Mustafa, konvensyen itu akan menjadi medan terbuka kepada pemimpin dan aktivis pendidikan untuk berkongsi idea, pendapat dan sumbangan dalam bidang pendidikan.
“Konvensyen ini selain membincangkan isu yang melanda umat Islam, ia juga akan memfokuskan terhadap pemerkasaan kekuatan ummah melalui agenda kluster pendidikan.
“Ianya perlu digerakkan secara keseluruhan oleh semua pihak secara lebih berperancangan dengan pendekatan yang lebih tersusun dan dinamik.
“Ini adalah untuk memastikan landasan dan hala tuju pendidikan negara berada pada tahap yang mantap demi kegemilangan ummah menjadi realiti sebenar untuk memperkasa dan memartabatkan masyarakat Melayu Islam di Malaysia,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.
Sementara itu, Setiausaha Kongres Rakyat, Kamaruzaman Mohamad turut menyeru individu yang prihatin untuk hadir pada konvensyen terbabit sebagai tanda sokongan terhadap objektif acara itu iaitu menyatukan dan membela umat Islam seperti jaminan di dalam perlembagaan negara.
Tujuh bidang akan disentuh pada konvensyen yang julung kalinya diadakan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah).
The post Golongan pendidik diseru hadir ke Konvensyen Kebangkitan Ummah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan