Hukuman mati rejim pengganas Israel sasar rakyat Palestin
GAZA, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Cadangan rejim pengganas Israel untuk memudahkan hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas sesiapa yang dituduh terbabit dalam kegiatan keganasan dikecam sebagai fasis kerana kemungkinan undang-undang itu menyasarkan rakyat Palestin.
Rang undang-undang untuk meminda peraturan sedia ada yang mengawal selia pelaksanaan hukuman mati, diluluskan Parlimen rejim itu, Rabu lalu, dengan mendapat sokongan parti Likud dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Ahli Parlimen Palestin warga Israel, Aida Touma-Suleiman berkata, walaupun rang undang-undang itu tidak menyatakan secara tepat mana-mana kumpulan, ia lebih dimaksudkan kepada rakyat Palestin.
“Sudah pasti ia tidak akan dilaksanakan ke atas Yahudi yang bersalah melakukan serangan ke atas rakyat Palestin.
“Ini adalah rang undang-undang fasis, yang menyumbang kepada suasana fasisme di dalam masyarakat Israel, dan ditujukan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Mengikut undang-undang sedia ada, mahkamah awam rejim pengganas Israel melaksanakan hukuman mati kepada pihak Nazi dan sekutu mereka yang didapati bersalah melakukan pembunuhan ketika ‘Holocaust’, manakala mahkamah tentera pula boleh menjatuhkan hukuman mati jika panel tiga hakim mencapai persetujuan sebulat suara.
Bagaimanapun, cadangan perubahan itu menyatakan klausa tambahan, yang membenarkan hukuman mati dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang didapati bersalah dalam aktiviti keganasan, yang ditakrifkan oleh rang undang-undang itu sebagai ‘percubaan membunuh orang awam dalam usaha mencapai cita-cita politik, keagamaan dan ideologi’.
Ia juga akan menghapuskan keputusan sebulat suara panel hakim mahkamah tentera, sebaliknya hanya memerlukan persetujuan dua daripada tiga hakim. – Agensi
The post Hukuman mati rejim pengganas Israel sasar rakyat Palestin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan