Karnival Lepasan Sekolah (KLS) Kota Bharu ke-5 Berjaya

Karnival Lepasan Sekolah (KLS) Kota Bharu 2018 sudah masuk penganjuran kali ke-5 tahun ini. Program yang penuh info kerjaya ini telah diadakan di Politeknik Kota Bharu pada 27 Januari 2018. Program ini adalah anjuran bersama Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Kota Bharu, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik) Kelantan, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) dan Yayasan Ikhlas. Seramai 168 orang peserta bertuah daripada segenap pelusuk negeri Kelantan telah menghadirkan diri.

Program ini dimulakan dengan suntikan motivasi daripada ikon akademik terkenal, Dr Syahrul Fitri Zawawi. Beliau yang merupakan pemegang cokmar University of Adelaide, Australia telah memberikan tips bukan sahaja untuk berjaya dalam dunia akademik, tetapi juga kaedah-kaedah untuk ‘survive’ dalam kehidupan remaja yang penuh cabaran.

Seterusnya para peserta didedahkan dengan perkongsian tentang pelbagai bidang menerusi program TED talk. Banyak input menarik tentang kerjaya berjaya dikupas oleh para pembentang sekaligus memberikan gambaran jelas kepada para peserta tentang prospek kerjaya yang ingin mereka ceburi.

Slot pengenalan kerjaya ini dikukuhkan lagi dengan lawatan ke booth pameran ditemani oleh para mentor yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang. Pihak MARA dan PTPTN juga turut sudi memenuhi jemputan untuk mengadakan pameran sekaligus menjadikannya unik dan sangat bermanfaat kepada peserta.

  

Antara kelainan KLS Kota Bharu pada tahun ini adalah persembahan mantap daripada Areef,  penyanyi solo dari Tarbiah Sentap Records. Para peserta disajikan dengan beberapa buah lagu pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan memilih bidang yang diminati.

Pada sebelah petang pula, program KLS Kota Bharu dihangatkan lagi dengan forum kehidupan dibarisi oleh panelis-panelis yang berkaliber daripada pelbagai aliran. Forum ini berjaya mengupas beberapa isu panas seperti pengangguran mahasiswa, nilai tambah pada seseorang mahasiswa dan banyak lagi.

Sebelum tamat, majlis dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah dan perasmian penutup yang telah dirasmikan oleh Ustaz Abdul Rahman Iskandar, Yang Dipertua (YDP) ISMA Kota Bharu.

Diharapkan para peserta dapat membawa pulang mutiara-mutiara berharga untuk dijadikan panduan pada masa hadapan. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi dan individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga segala sumbangan diterima sebagai amal jariah dan kami berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Oleh,

Hanis Sadikin bt Abd Hadi

 

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian