Kemelut pengagihan kerusi PRU14 – PAN diperdayakan atau mengalah

KEMARAHAN dan kritikan sebahagian ahli dan pimpinan PAN tentang agihan kerusi Parlimen PRU14 nanti adalah pencerminan penyakit yang biasa menimpa parti-parti politik tanahair.

Membaca analisa Dr Kamarul Yusoff tentang komen-komen sebahagian pemimpin dan para simpatisan PAN (http://ift.tt/2Darf4c) mengingatkan saya kepada fenomena kerjasama politik yang tidak pernah menikmati suasana kestabilan untuk jangka waktu yang panjang. Krisis ini lebih ketara ketika blok parti-parti pembangkang “mencapai” keputusan tentang peruntukan kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan oleh masing-masing parti secara individu dalam PRU14 tidak lama lagi.

Saya berpendapat bahawa parti yang paling malang sekali di dalam percaturan politik dengan pertaruhan tinggi (high stakes political game) adalah Parti Amanah Negara yang lebih dikenali sebagai PAN. Pada hemat saya, PAN telah di “checkmate” dan diperdayakan oleh kebijaksanaan berpolitik parti-parti lain.

Suatu keadaan yang menghairankan sekali, memandangkan pemimpin-pemimpin utama PAN bukanlah sembarangan individu. Hampir kesemua mereka adalah veteran-veteran politik yang punya banyak pengalaman ketika bersama PAS dahulu.

Persoalan yang segera timbul, siapakah yang sebenarnya berkuasa di dalam PAN?

Umum juga mengetahui bahawa sebahagian pemimpin PAN berasal dari pertubuhan Ikram, malah tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa PAN adalah platform politik bagi Ikram. Pembentukan parti politik sendiri merupakan sebahagian daripada rancangan asal Grand Design awal tahun 90 an dahulu, sekiranya mereka menemui kegagalan beraksi dari dalam parti-parti UMNO dan PAS. Ramai ahli dan aktivis Ikram juga dikenali sebagai penggerak utama bagi PAN, lama sebelum parti (PAN) ini ditubuhkan.

Idea tentang Rahmatun Alamin, Maqasid Syari’ah dan menguruskan perbezaan bukanlah sejati dari falsafah politik tetapi manhaj tersendiri yang diwariskan kepada PAN. Betapa PAN mendokong gagasan-gagasan ini bukan satu keistimewaan, malah ia hanya melantunkan kembali (echo) strategi politik sebuah NGO berwajahkan Islam.

Justeru itu, yang paling ketara di dalam pengagihan politik blok pembangkang hanyalah kenaifan parti “Islam” baru ini berpolitik berhadapan dengan kelicikan DAP dan PKR. Hakikat bahawa BERSATU diperuntukkan lebih banyak kerusi lebih perit bagi PAN yang nafsu politiknya tidak kurang besar juga.

Kenaifan ini lebih terselah ketikamana kita membaca komen sebahagian ahli-ahli Ikram yang cuba menjustifikasikan pembahagian yang “berat sebelah” dan “tidak seimbang itu” dengan kalimat-kalimat memujuk diri sendiri yang tidak meyakinkan langsung.

Ramai di antara anggota senior mereka terlibat dengan apa yang dikenali sebagai “Reformasi” ketika berlakunya krisis politik ekoran dari pemecatan, penahanan dan pembicaraan ke atas Anwar Ibrahim. Tokoh yang mereka bersetuju untuk diangkat sebagai Perdana Menteri (sekiranya blok pembangkang menang dalam PRU14) itu jugalah yang “memenjarakan” idola politik mereka iaitu Anwar Ibrahim.

Mereka mati akal bagaimana hendak menyelaraskan dua entiti yang saling bertentangan secara logik. Mereka juga gagal mengemukakan jawapan yang tuntas dan memuaskan untuk “reconcile”kan dua realiti yang saling bertentangan. Akhirnya dipilih jawapan alternatif yang semakin mengkusutkan kontradiksi ketara ini.

Kebenaran yang pahit terpaksa ditelan.

Muntah harus dijilat kembali.

PAN juga dianggap sebagai parti belaan DAP yang ciri-ciri cauvinistik dan rasisnya sudah termaklum. Apabila DAP (melalui Penang Institute milik kerajaan negeri) turut sama mendendangkan lagu Rahmatun Lil Alamin dan Maqasid Syari’ahnya, hal ini bukan merupakan satu kebetulan sahaja. Dalam kebanyakan kes, ahli-ahli Ikram/PAN tidak akan bersuara apabila berlaku keceluparan dan kenistaan dari mulut pemimpin-pemimpin DAP terhadap Islam ataupun perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Islam.

Keadaan ini hanya menguatkan persepsi bahawa PAN adalah “proksi”, “khadam” atau “sayap Islam” bagi parti cauvinis dan rasis DAP itu.

Tidak hairanlah sekiranya banyak pihak beranggapan bahawa agihan 27 kerusi Parlimen kepada PAN untuk PRU14 nanti secara tidak langsung merupakan bonus kepada DAP (yang diberikan 35 kerusi), menjadikan “jumlah” kerusi untuk DAP adalah sebanyak 62.

Ini belum lagi dikira pengagihan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Satu pemerhatian yang saya dapat buat ialah betapa rapuhnya sistem nilai yang digunakan di dalam medan politik yang tidak dipandu oleh wahyu. Nilai-nilai tersebut boleh berubah mengikut kepentingan diri, maslahat politik, strategi jangka panjang atau pendek, haloba untuk berkuasa dan juga sifir untung rugi material.

Sistem nilai yang tidak dipandu oleh wahyu ini boleh mendorong seseorang/organisasi/parti untuk menggadaikan prinsip, berkhianat, hipokrit, menukar ganti kesetiaan dan kejujuran dan mengkaburkan garis pemisah antara sahabat dan musuh. Adakalanya sistem nilai ini boleh berubah dan terumbang ambing antara hawanafsu, perangkap Iblis dan akal yang sempit juga.

Tidak ada satu jaminan atau kepastian langsung bahawa sistem nilai yang tidak bersumber dari wahyu ini dapat bertahan lama atau boleh menyelesaikan masalah-masalah umat atau bangsa. Tempoh jangka hayat (expiry date) sesuatu kerjasama itu mungkin dapat bertahan beberapa bulan sahaja ataupun setakat 10 atau duapuluh tahun sahaja. Fenomena ini telah dan sedang berlaku di depan mata umum.

Jeritan “Reformasi!” adalah satu contoh klasik tentang helaan nafas perjuangan yang telah ditamatkan secara mengejut. Ia hanya dapat bertahan tidak sampai 20 tahun sahaja. (http://ift.tt/2mfuzD3).

Ramai yang tidak sedar bahawa dengan termeterainya “Tahaluf Siyasi” baru antara PKR, DAP, PAN dan BERSATU, PKR dengan sendirinya telah menggugurkan alasan/justifikasi untuk wujud sebagai sebuah parti politik yang relevan. Ini kerana tujuan utama (raison d’etre) ia ditubuhkan dahulu ialah untuk membela kepentingan seorang individu yang “dizalimi” dan melawan “salahguna kuasa, korupsi, pembaziran” oleh individu lain yang kini menjadi rakan dan sahabat seperjuangan.

Malah, boleh dikatakan bahawa seluruh premis perjuangan blok pembangkang “harapan” hari ini telah runtuh ‘by default’, diruntuhkan oleh tangan mereka sendiri!

Bagaimanapun, impian politik yang ditawarkan oleh blok pembangkang yang kononnya membawa harapan baru untuk rakyat yang dihimpit dengan serba serbi ketidakpastian dan masadepan yang tidak menentu kini telah dirangkul sepenuhnya oleh para pendokong dan penyokong mereka persisi seperti lembu dan baghal dicucuk hidung.

“Herd mentality” ini juga mengesani semua peringkat – dari kepimpinan hinggalah ke ahli-ahli biasa, sekiranya penyokong/pendokong ini adalah satu organisasi atau NGO. Lebih parah kalau pimpinan dan ahli-ahli dikerahkan untuk turut sama berhempas pulas dengan “perjuangan” yang pada hakikatnya adalah sia-sia sejak dari awal lagi.

Meskipun demikian, kita tidak pula akan membela sebarang penyelewengan, salahguna kuasa, pembaziran, rasuah dan seumpamanya. Ajaran Islam menuntut umatnya supaya tidak redha dengan kemungkaran dan juga maksiat serta ketidakadilan, biar siapapun yang melakukannya.

UMNO/BN pula tidak boleh menganggap dirinya suci dari segala najis dan dosa politik terhadap rakyat. Demikian jugalah peringatan yang sama kepada mana-mana parti dari blok pembangkang yang memerintah mana-mana negeri.

Percaturan, pengagihan dan pembahagian kerusi Parlimen blok pembangkang untuk PRU14 nanti tidak semestinya akan membawa kepada perubahan atau iklim politik baru yang lebih baik atau positif kepada rakyat. Rakyat sudah menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana salahguna kuasa, rasuah, penyelewengan dan pembaziran telah dan sedang berlaku sejak puluhan tahun yang lalu.

Tidak ada apa yang baru atau pelik yang belum pernah dilihat oleh rakyat sebelum ini.

Justeru itu, ahli-ahli Ikram/PAN tidak perlu berkeluh kesah atau menggigit jari dengan pembahagian atau pengagihan kerusi Parlimen untuk PRU14 atau sekiranya kalah di kerusi-kerusi Parlimen atau DUN nanti.

Hayatilah pesanan dan madah Naib Presiden PAN sendiri supaya anda semua:

“… merasai kemanisan mengalah …” kerana

“Allah akan mengurus peluh dan airmata kami …”

Deep dan menyentap …!

Mohd Luttfi Abdul Khalid

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan portal Ismaweb.net

The post Kemelut pengagihan kerusi PRU14 – PAN diperdayakan atau mengalah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian