Kenyataan Presiden Persekutuan Taoist berbaur hasutan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Jamadilawal 1439H, Selasa – Kenyataan Presiden Persekutuan Taoist Malaysia, Daozhang Tan Hoe Chieow yang mendakwa sekiranya usul pindaan RUU355 diluluskan di Parlimen, akan menyebabkan negara menjadi lebih islamik serta menjejaskan orang bukan Islam adalah terlalu dangkal.

Turut menyifatkan ia sebagai berbaur hasutan, Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, isu Malaysia ke arah negara Islam tidak timbul kerana memang negara ini sebuah negara Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“Masyarakat Islam di negara ini diwajibkan untuk beramal dengan Islam dan itu dibenarkan oleh Perlembagaan. Bahkan Perlembagaan menyatakan agama Persekutuan ini adalah Islam. Sila baca Perkara 3 (1). Ianya cukup jelas, bukan disebut agama rasmi, bahkan agama negara adalah Islam.

“Maka menjadi kewajipan kerajaan dan umat Islam semuanya untuk menyempurnakan pentadbiran negara ini sesuai dengan kehendak Islam,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertikaian Daozhang berhubung pelaksanaan RUU itu, beliau berkata, memperkasakan Mahkamah Syariah adalah hak mutlak umat Islam.

“Kita ingin melaksanakan hukum mengikut apa yang disebut dalam agama kami, dan ini selaras pula dengan Perlembagaan. Mengapa suara-suara menghalang ini semakin berani?

“Jawapannya mudah. Pihak berwajib termasuk pihak polis tidak mahu bertegas dengan pandangan ekstrem seperti ini.

“Pandangan sebeginilah yang boleh memecah-belahkan masyarakat malah berbaur hasutan,” katanya.

Sepatutnya, pihak yang mengungkap dakwaan tersebut perlu diambil tindakan tegas.

“Apatah lagi yang menyebut itu mewakili badan agama lain. Ini sudah sangat keterlaluan.

“Saya juga gusar kerana kenyataan ini boleh menyebabkan salah faham terhadap Islam. Saya seru orang bukan Islam agar mendapatkan maklumat yang sebenar tentang Islam daripada sumbernya yang betul, bukan daripada orang yang memang telah ada kebencian kepada umat Islam dan sistem Islam,” katanya.

Terdahulu, Daozhang berkata, seandainya RUU itu diluluskan, kerajaan perlu menaikkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah kepada 30 tahun tempoh penjara, denda RM100,000 dan 100 kali rotan.

“Inilah sebab kenapa kami menentang (RUU355). Bukan kerana kami mencampuri urusan syariah Islam, tetapi ini dilihat sebagai langkah pertama ke arah Malaysia menjadi sebuah negara Islam,” katanya.

The post Kenyataan Presiden Persekutuan Taoist berbaur hasutan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian