KLS Kuantan 2018 bawa peserta kenali potensi diri

Oleh Norfadilah Hilmi

KUANTAN, 29 Jan. – Para peserta dapat lebih mengenali potensi yang ada di dalam diri serta boleh disesuaikan untuk membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pelajaran ke bidang pengajian tinggi atau kemahiran teknologi & vokasional.

Pengurus Pengeluaran Syarikat BASF Petronas Chemicals, Haji Zaizul Azizi Zaman berkata, setiap pelajar lepasan sekolah perlu tahu cita-cita dan kelayakan jurusan tersebut kerana ada juga pelajar yang baru tamat sekolah terus bekerja, selepas bekerja baru mereka tahu minatnya dan kemudian menyambung pelajaran semula.

“Namun, perlu diketahui bahawa terdapat had umur di setiap tingkatan aliran akademik. Sebagai contoh, matrikulasi ada had umur untuk memasukinya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk What’s next? di Karnival Lepasan Sekolah (KLS) 2018 anjuran Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Kuantan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan semalam.

Tambah beliau, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula adalah aliran pengajian ke jurusan agama dan biasanya para pelajar akan ke Timur Tengah.

“Tetapi ada juga pelajar yang belajar STAM dan kemudian menyambung pelajaran ke bidang perubatan.

“Jadi mereka yang mengambil jurusan agama bukan sekadar boleh menjadi seorang ustaz, tetapi juga boleh menjadi pegawai perubatan di hospital.

“Akhirnya, laluan hidup ini kita tidak tahu akan ke mana. Maka, perlu cari dan teroka minat kita, inshaaAllah akan dipermudahkan kita untuk sampai ke sana,” terang beliau lagi.

Melalui slot Perkongsian Kerjaya, saudara Zaid Irman Zaharuddin, selaku tenaga pengajar bagi kursus kemahiran elektrik berkongsi pengalaman bagaimana beliau mampu berjaya sehingga menjadi tenaga pengajar bagi jurusan elektrik.

Selain daripada perkongsian tentang bidang kemahiran teknikal dan vokasional, para peserta juga didedahkan dengan perkongsian kerjaya dari beberapa panelis yang berlainan latar pendidikan termasuk bidang kejuruteraan, pensyarah, serta perubatan dan kesihatan.

Dalam pada itu, saudara Muaz Rushdan, selaku Pengarah KLS 2018 ketika ucapan alu-aluan beliau, memberikan harapan agar para peserta dapat memanfaatkan karnival yang diadakan ini untuk menggali potensi yang ada di dalam diri mereka.

“Harapan saya agar para peserta sudah tahu ke mana tujuan yang ingin dicapai dan sudah bersedia untuk melangkah ke bidang yang ingin diceburi selepas sekolah nanti,” ujar beliau.

Rata-rata para peserta berasa amat gembira kerana dapat hadir ke KLS pada kali ini, seterusnya merasai pengalaman belajar di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara yang dikongsikan oleh panelis sepanjang program berlangsung.

“Perasaan saya sangat gembira kerana dapat sama-sama menyertai KLS kali ini dan berharap akan berjaya menyambung pelajaran pada masa akan datang.

“Melalui program ini, saya didedahkan dengan pelbagai cabang pelajaran, dan saya berhasrat ingin menyambung pelajaran ke bidang kemahiran yang bersesuaian dengan saya,” ujar Nor Shahira Shaedon, bekas pelajar SMK Tg Gemok ketika ditemui ketika berakhirnya KLS 2018.

Manakala, Siti Wildania Syafiqa Ibrahim, bekas pelajar SMK Alor Akar menyatakan lebih memahami mengenai pilihan yang ditawarkan untuk menyambung pelajaran selepas SPM.

“Dengan bantuan para penceramah saya dapat memahami lebih terperinci bidang yang saya minati serta bidang-bidang yang lain,” katanya.

Program KLS 2018 kali ini telah berjaya menarik hampir 100 peserta dari sekitar Kuantan, Pekan, Rompin dan Temerloh ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Isma cawangan Kuantan, Dr. Mohamad Nor Sundari.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian