Larang pekerja hotel bertudung: Akta Kerja 1955 akan dipinda
PUTRAJAYA, 25 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang memuktamadkan draf cadangan pindaan Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja susulan isu larangan bertudung dalam sektor perhotelan baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, cadangan pindaan akta itu adalah hasil perbincangan pada 5 Disember lepas yang membabitkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia.
“Draf pindaan undang-undang tersebut akan diperhalusi segera bersama-sama beberapa agensi lain yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Riot berkata, KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) juga telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas 74 buah hotel bertaraf empat dan lima bintang di Pahang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak November 2017.
Katanya, pemeriksaan tersebut bagi mengenal pasti kewujudan unsur-unsur diskriminasi khususnya mengenai larangan pemakaian tudung dan kod etika pakaian ditetapkan majikan.
Riot berkata, pemeriksaan tersebut mendapati 13 buah hotel mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja manakala 61 lagi tidak menetapkan sebarang bentuk polisi berkaitan perkara itu.
Katanya, JTKSM telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan hotel berkenaan dan mereka secara dasarnya bersetuju untuk membatalkan larangan tersebut.
“Sebagai contoh, di Johor terdapat empat buah hotel yang mengenakan larangan bertudung dan selepas perbincangan lanjut, mereka akur secara lisan dan bertulis serta membuat pengakuan untuk membatalkan larangan tersebut,” katanya.
Riot berkata, JTKSM juga telah mengeluarkan surat kepada dua persatuan dan 10 kesatuan sektor perhotelan pada 18 Dis 2017 untuk mendapatkan pandangan bertulis berhubung isu itu.
Katanya, Persatuan Pengusaha Hotel (MAH) dalam maklum balasnya menyatakan polisi melarang pekerja bertudung adalah bergantung kepada pengurusan hotel masing-masing.
Dalam pada itu, Riot turut mengulangi gesaannya kepada majikan, khususnya pengusaha hotel di seluruh negara, agar memberi komitmen dan kerjasama dalam usaha berterusan kerajaan untuk memelihara keharmonian di tempat kerja.
Justeru, katanya, majikan perlu sentiasa menghormati hak–hak pekerja yang digajikan bukan sahaja dari segi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang perburuhan sedia ada di negara ini, tetapi turut menghormati hak-hak individu seperti yang termaktub di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang bentuk diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras dan keturunan,” katanya.
The post Larang pekerja hotel bertudung: Akta Kerja 1955 akan dipinda appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan