Lebih 50,000 dijangka hilang kerja tahun ini
BANGI, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Lebih 50,000 pekerja dalam pelbagai sektor utama dijangka diberhentikan tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan.
Jangkaan beliau turut diakui oleh Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor, yang merujuk kepada laporan Jabatan Buruh diterimanya.
Memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Shamsudin berkata, industri pembuatan akan menjadi sektor utama yang terjejas.
“Ini diikuti sektor insurans, perbankan dan peruncitan serta pembinaan. Kemunculan beberapa faktor akan menjejaskan dengan teruk pasaran pekerjaan, menyebabkannya lebih mencabar,” katanya.
Beliau berkata, beberapa faktor, seperti levi dikenakan ke atas majikan yang mengambil pekerja asing dan Skim Insurans Pekerja (EIS), akan menjejaskan pasaran kerja.
Begitu juga, katanya, penambahan hari cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari, serta cuti kepada suami turut menjadi faktor utama.
Pada 2015, dilaporkan 38,499 pekerja diberhentikan, manakala 37,699 hilang pekerjaan pada 2016. Laporan menyebut dari Januari hingga September tahun lalu, 30,700 rakyat Malaysia hilang pekerjaan.
Shamsudin berkata, penjadualan semula gaji minimum pada bulan Julai nanti, juga akan memberi impak kepada majikan.
Laporan juga menyatakan penggunaan mesin secara automatik, robot dan teknologi maklumat yang semakin meluas turut menjadi penyumbang kepada pekerja diberhentikan.
Apabila bank mengguna pakai teknologi maklumat yang lebih baik pada tahun 2016, ia menyebabkan 18,000 orang kehilangan pekerjaan.
Samsudin berkata, syarikat multinasional yang terbabit dalam industri berintensifkan tenaga buruh juga akan meninggalkan Malaysia berikutan kos upah yang lebih tinggi, berbanding negara lain di rantau ini.
“Mereka berpindah ke negara-negara kos buruhnya lebih rendah,” katanya, memberi contoh Kemboja dan Laos di mana upah adalah di bawah AS$100 (RM402.59) sebulan, berbanding kira-kira AS$250 di Malaysia.
Sementara itu, Abdul Halim pula dipetik sebagai berkata, berdasarkan laporan yang diterimanya daripada Jabatan Buruh, kira-kira 30,000 hingga 50,000 orang dijangka diberhentikan tahun ini, membabitkan sektor kewangan, pembinaan dan pembuatan.
“Jika ini berlaku, MTUC akan memastikan mereka akan mendapat pampasan mencukupi,” katanya sambil menegaskan EIS yang mula dilaksanakan 1 Januari lalu, akan sedikit sebanyak membantu pekerja yang diberhentikan.
The post Lebih 50,000 dijangka hilang kerja tahun ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan