Liga Arab bahas isu Baitulmaqdis 1 Februari
AMMAN, 26 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Sekali lagi negara-negara anggota Liga Arab akan mengadakan pertemuan bagi membahaskan isu berkaitan situasi di Baitulmaqdis pada 1 Februari ini.
Perbincangan itu adalah tindakan susulan berhubung keputusan awal diambil Liga Arab untuk menangani langkah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata, negara Arab akan berusaha memujuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Kami akan berhadapan keputusan itu dengan mendapatkan resolusi PBB, badan antarabangsa, untuk mengiktiraf negara Palestin dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya,” katanya.
Liga Arab menekankan keperluan menamatkan konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak sekian lama.
Keadaan menjadi kritikal selepas pengumuman Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, termasuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah itu.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan umat Islam di Palestin dan antarabangsa sehingga mencetuskan bantahan di wilayah Palestin yang diduduki, Iran, Turki, Mesir, Jordan, Tunisia, Iraq serta negara Islam lain.- Agensi
The post Liga Arab bahas isu Baitulmaqdis 1 Februari appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan